Sunday, July 3, 2022

2 bos Capital A terima bayaran lebih RM14 juta pada 2021

Peningkatan gaji mereka lebih besar berbanding apa yang diperolehi pada 2020.

Other News

Laporan Tahunan Capital A Berhad menunjukkan Tony Fernandes dan Kamarudin Meranun masing-masing menerima gaji lebih RM14 juta untuk tahun kewangan 2021 (FY2021) berakhir 31 Disember 2021, peningkatan yang amat besar berbanding pada 2020 meskipun syarikat itu terus berdepan kecaman daripada pengguna yang tidak mendapatkan pampasan duit tiket perbangan yang dibatalkan akibat penularan Covid-19.

Laporan yang diumumkan pada 29 April 2022 itu menyatakan Fernandes yang juga ketua pegawai eksekutif Capital A (dulu dikenali sebagai AirAsia Group Berhad), menerima bayaran RM14,947,213 ditambah dengan elaun mesyuarat, perjalanan dan lain-lain sebanyak RM124,781, manakala Kamarudin yang merupakan pengerusi eksekutif Capital A pula menerima RM14,051,429.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak gaji diterima Fernandes dan Kamarudin berbanding RM4.8 juta yang diterima kedua-dua individu terbabit pada FY2020.

Pada April 2020, Fernandes dilaporkan berkata beliau dan Kamarudin tidak akan menerima gaji manakala pekerja AirAsia setuju menerima potongan gaji sehingga 75% ekoran impak penularan Covid-19 yang telah menjejaskan prestasi kewangan syarikat tersebut.

Menyentuh prestasi kewangan Capital A bagi FY2021, syarikat itu merekodkan penurunan rugi bersih kepada RM3.11 bilion berbanding RM5.11 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Namun begitu, syarikat itu juga meraih RM1.73 bilion perolehan, berkurang daripada RM3.27 bilion yang direkodkan bagi FY2020.

Pada Januari lalu, AirAsia Group Berhad menukar namanya kepada Capital A sekali gus mencerminkan usaha mentransformasi syarikat itu menjadi sebuah syarikat pegangan pelaburan dan portfolio perniagaan perjalanan gaya hidup dan bukannya sekadar syarikat penerbangan lagi.

Melihat kepada prestasi kewangan Capital A mengikut suku tahunan sepanjang FY2021, syarikat itu merekodkan rugi bersih RM767.42 juta pada suku pertama (Q1) berakhir 31 Mac 2021, diikuti rugi bersih RM580.06 juta pada Q2 berakhir 30 Jun 2021.

Syarikat itu terus berdepan tekanan apabila mengalami kerugian bersih RM887 juta pada Q3 berakhir 30 September 2021 dan rugi RM884.09 juta pada Q4.

Selain itu, Capital A turut menerima tempias daripada isu bayaran balik yang dihadapi AirAsia X Berhad, syarikat penerbangan jarak jauh yang berkaitan dengan syarikat itu.

Disebabkan isu ini, ramai dalam kalangan penumpang AirAsia X antarabangsa dan tempatan menggesa supaya pihak pengurusan syarikat terbabit termasuk Fernandes supaya bersikap adil dan memulangkan duit tiket selepas penerbangan mereka dibatalkan sejak dua tahun lalu.

Malah, ramai dalam kalangan penumpang turut meluahkan rasa tidak puas hati dan bersedia memboikot perkhidmatan syarikat tambang murah itu selagi tidak menerima duit mereka.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles