Friday, July 1, 2022

Pembangkang Singapura tulis surat kepada menteri berhubung dakwaan peguam takut wakili banduan

Mereka bertanya kepada menteri undang-undang sama apakah peguam di Singapura takut mewakili banduan kerana bimbang tindakan daripada kerajaan.

Other News

Parti pembangkang di Singapura menulis surat kepada menteri undang-undang berhubung dakwaan mengatakan wujud suasana yang menakutkan dalam kalangan peguam sehingga menyebabkan mereka tidak mahu mewakili banduan bilik akhir, berikutan dua kes baru-baru ini di mana banduan terpaksa mewakili diri mereka sendiri di mahkamah.

Dalam surat kepada K Shanmugan itu, Parti Reformasi, Parti Kuasa Rakyat dan Titik Merah Bersatu berkata ia adalah “dakwaan serius” kerana di bawah perlembagaan negara itu, semua orang berhak mendapat khidmat peguam dan perwakilan undang-undang.

“Hak untuk mendapatkan nasihat undang-undang adalah perkara utama dalam mendapatkan perbicaraan yang adil dan ia merupakan tunggak kedaulatan undang-undang, yang mendasari kemakmuran ekonomi dan pembangunan Singapura,” kata mereka.

“Kami bimbang dengan dakwaan serius yang mengatakan peguam di Singapura mungkin takut untuk mewakili banduan dalam perkara penting perundangan kerana bimbang tindakan akan diambil ke atas mereka oleh kerajaan.”

Pada 28 April, seorang banduan bilik akhir bagi kesalahan dadah Datchinamurthy Kataiah, berhujah di hadapan hakim mewakili dirinya sendiri dalam prosiding rayuannya.

Warga Malaysia itu dijadulkan menjalani hukuman mati pada hari berikutnya walaupun proses cabaran undang-undang yang dikemukakan olehnya masih berjalan di mahkamah.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi kemudiannya membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan perbicaraannya pada 20 Mei.

Apa yang berlaku dalam kes Datchinamurthy turut menyebabkan ramai yang membandingkannya dengan kes Nagaentran K Dharmalingam, seorang lagi banduan hukuman mati yang dihukum mati awal bulan lalu.

Ibu Nagaenthran, Panchalai Supermaniam juga terpaksa hadir sendiri di mahkamah dalam percubaan terakhirnya untuk menyelamatkan anak lelakinya.

Langkah itu terpaksa diambil kerana dia tidak berjaya mendapatkan khidmat peguam yang sanggup mewakili anaknya.

Hukuman mati Nagaenthran mencetuskan kemarahan antarabangsa berikutan statusnya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental.

Nagaenthran mempunyai skor IQ sebanyak 69, tahap yang membolehkannya diisytihar sebagai OKU.

Dia turut dilaporkan dipaksa untuk menyeludup sejumlah kecil heroin ke negara itu.

Dalam pada itu, Jabatan Peguam Negara Singapura mengatakan “ramai individu dan kumpulan” baik di dalam mahupun di luar Singapura terus mengulangi “dakwaan palsu” yang terkandung dalam afidavit Panchalai.

“AGC memandang serius sebarang tindakan yang boleh dianggap menghina (mahkamah), dan ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi melindungi pentadbiran badan kehakiman,” katanya.

Dalam kenyataan hari ini, pembangkang Singapura turut bertanya adakah peguam di negara itu takut mewakili banduan kerana bimbang tindakan diambil oleh kerajaan terhadap mereka.

“Adakah peguam di Singapura bekerja dalam suasana takut mereka akan menerima tindakan dari kerajaan kerana mengambil kes atau defendan tertentu?

“Jika jawapannya tidak, apakah langkah-langkah yang dilaksanakan bagi mengelakkan andaian yang mengatakan tindak balas kerajaan boleh dikenakan terhadap kalangan peguam?”

Mereka turut mempersoalkan sama ada prosedur dalam perbicaraan jenayah meletakkan syarat yang terlalu membebankan peguam bagi mewakili kes sedemikian.

Selain itu, mereka turut bertanya sama ada prosedur tersebut mematuhi Prinsip Asas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Peranan Peguam.

“Kami yakin bahawa kerajaan mempunyai kewajipan untuk secara aktif memadamkan mitos andaian sedemikian sama seperti sama ia mempertahankan reputasinya daripada sebarang bahaya.

“Dan ia mesti dilihat dilaksanakan bagi meluruskan rekod, bahkan apabila ura-ura seperti itu mencipta hasil yang memihak kepadanya,” kata kenyataan itu lagi.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles