- Iklan -
Berita

Hampir 15 juta terkorban akibat Covid-19 pada 2020-21, kata WHO

84% kematian tertumpu di kawasan Asia Tenggara, Eropah dan Amerika.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan memakai baju pelindung lengkap ketika mengiringi jenazah pesakit Covid-19 ke tanah perkuburan di Labuan. Gambar: Bernama
Petugas kesihatan memakai baju pelindung lengkap ketika mengiringi jenazah pesakit Covid-19 ke tanah perkuburan di Labuan. Gambar: Bernama

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis memaklumkan hampir 15 juta kematian di seluruh dunia dikaitkan secara langsung atau tidak langsung dengan pandemik Covid-19 menjelang akhir 2021.

Menurut anggaran WHO, jumlah korban keseluruhan akibat Covid-19 adalah kira-kira 14.9 juta antara 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2021.

Angka ini berdasarkan perbezaan antara jumlah dan anggaran kematian jika tanpa wabak berdasarkan data dari tahun-tahun sebelumnya.

Selain kematian akibat jangkitan Covid-19 secara langsung, “kematian tidak langsung” adalah keadaan kesihatan lain yang menyebabkan orang ramai tidak dapat mengakses sistem kesihatan dan rawatan, kerana wabak itu, lapor Xinhua.

Menurut WHO 84% kematian tertumpu di kawasan Asia Tenggara, Eropah dan Amerika, dan kira-kira 68% di 10 negara di seluruh dunia.

Negara berpendapatan sederhana menyumbang 81% dari 14.9 juta kematian, manakala negara berpendapatan tinggi dan berpendapatan rendah masing-masing menyumbang 15 dan empat peratus.

Angka kematian global lebih tinggi dalam kalangan lelaki (57%) berbanding wanita (43%) dan lebih tinggi terhadap golongan warga emas.

“Data ini bukan sahaja menunjukkan kesan pandemik tetapi keperluan agar semua negara melabur dalam sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan bagi mengekalkan perkhidmatan kesihatan kritikal semasa krisis, termasuk sistem maklumat kesihatan lebih kukuh,” Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata dalam satu kenyataan.