- Iklan -
Berita

Suasana raya hening di Rantau Panjang, laluan darat belum dibuka untuk perantau Thailand

Walaupun ramai yang pulang kampung halaman, namun bilangannya tidak sama seperti sebelum pandemik.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Beberapa kereta melalui kawasan Rantau Panjang berhampiran kawasan pemeriksaan imigresen.
Beberapa kereta melalui kawasan Rantau Panjang berhampiran kawasan pemeriksaan imigresen.

Suasana menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dilihat sedikit hening di sempadan Rantau Panjang-Golok meskipun Kelantan dilaporkan menerima masuk lebih dua juta kenderaan rakyatnya yang pulang beraya.

Ini memandangkan pintu masuk laluan darat ke Thailand di daerah itu masih ditutup menyebabkan perantau negara itu tidak boleh menggunakan laluan antarabangsa di Rantau Panjang.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, kira-kira seminggu sebelum hari raya, Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) akan sesak dengan kenderaan yang keluar masuk  sehingga melebihi 10 kilometer.

Masa yang diambil untuk menunggu giliran melepasi pemeriksaan pihak berkuasa ke Thailand boleh mencecah sehingga tempoh lima jam.

Kebanyakan mereka yang masuk ke Thailand merupakan perantau negara itu yang bekerja di Malaysia.

Lazimnya, mereka ini membuka restoran dan kedai makan masakan asli Thailand di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Shah Alam.

Musim perayaan seperti sambutan Aidilfitri akan menjadi tempoh bercuti paling panjang buat mereka untuk pulang ke kampung.

Mereka yang menggunakan pintu ICQS Rantau Panjang kebiasaannya akan pulang ke kampung di kawasan Golok, Songkhla, Narathiwat dan Bangkok yang dianggap lebih mudah dan dekat.

Bukan sahaja warganegara Thailand, penduduk setempat juga tidak melepaskan peluang untuk membeli belah di Thailand.

Ini termasuk membeli pakaian, aksesori baru kenderaan berjenama mewah dan barangan basah untuk memasak yang dianggap lebih murah dan segar di pekan Golok.

Bagaimanapun, pandemik Covid-19 merubah segala tradisi ini.

Tinjauan MalaysiaNow mendapati pusat perniagaan di Rantau Panjang dikunjungi banyak kenderaan dan ramai orang hadir membeli persiapan terakhir menuju Aidilfitri.

Bagaimanapun, bagi penduduk setempat, mereka menyifatkan suasana tersebut sebagai belum cukup “menggila”.

“Ini memang ramai, tapi ramai lagi sebelum tahun 2020. Tak bergerak kereta. Kali ini, dah nak masuk hari kedua sebelum raya, jalan sibuk di kawasan jualan sahaja,” kata pengusaha kedai kosmetik mahu dikenali sebagai Saurah kepada MalaysiaNow.

Kedainya terletak bersebelahan dengan tapak bas perhentian lama di tengah-tengah pekan Rantau Panjang.

Katanya, pemerhatiannya sejak awal Ramadan lagi mendapati tidak banyak kenderaan luar yang masuk ke kawasan tersebut.

“Biasanya, masa-masa macam ni, penuh dah kereta semua sampai tersumbat jalan. Mungkin masih dalam perjalanan.”

Bagaimanapun, seorang pemilik kedai makan, Norma Harun,60, berkata keadaan raya tahun ini dilihat hanya “biasa” sahaja.

“Kalau pintu sempadan buka, sampai depan simpang rumah saya pun boleh nampak kereta beratur lagi.”

Setakat ini, persetujuan kerajaan Malaysia-Thaland hanya membenarkan pembukaan laluan darat Bukit Kayu Hitam-Sadao dan Wang Kelian-Wang Prachan yang berkuatkuasa sejak 1 April lalu.

“Tahun ini, kereta orang luar balik beraya pun masih biasa. Banyak, tapi saya pernah tengok banyak lagi daripada ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sejak dua tahun lalu, semua pintu masuk antarabangsa hampir di seluruh dunia ditutup bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

Dalam tempoh itu juga menyaksikan banyak sektor ekonomi ditutup.

Tahun ini, seorang tukang masak warganegara Thailand Noradzli Che Senik, 41, berkata dia berkemungkinan tidak akan pulang ke kampung halaman di Golok dan membuka restoran sehingga hari raya ketiga.

Noradzli membuka kedai makan di Pasir Gudang, Johor dan mempunyai empat orang pekerja warganegara Thailand di bawah seliaannya.

Dengan itu, dia berharap dapat menabung semula wang simpanannya yang banyak digunakan sewaktu negara berdepan krisis kesihatan dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Tambahnya lagi, ramai rakan-rakannya yang lain juga mengambil tindakan yang sama.

“Kami pakat balik mungkin pada raya Aidiladha Julai nanti,” katanya kepada MalaysiaNow.

Rantau Panjang, sebuah daerah di utara negeri Kelantan merupakan kawasan zon bebas cukai yang terletak bersebelahan dengan pintu sempadan Thailand yang dipisahkan oleh Sungai Golok.

Selain melalui laluan darat di pintu ICQS, orang ramai mempunyai pilihan lain seperti laluan udara dan laluan air dengan menyeberang Sungai Golok menaiki bot kecil yang dikenakan kadar bayaran serendah RM5 seorang.

Sebelum pandemik, laluan air dan darat menjadi sangat sesak dengan banyak perantau dan penduduk setempat keluar dan masuk untuk urusan masing-masing.

Secara tradisinya, sehari sebelum raya atau lebih dikenali sebagai “hari buat ketupat”, ramai warga Thailand akan menyeberang sungai dengan membawa beg pakaian, manisan dan buah tangan dari tempat kerja masing-masing

Rantau Pajang turut menjadi laluan utama bagi perantau yang pulang melalui jalan dari Gerik-Jeli-Panglima Bayu menuju ke Rantau Panjang dan Pasir Mas.

Ini menyebabkan pekan itu sentiasa dipenuhi orang ramai yang singgah untuk membeli-belah.

Laluan tikus sebagai alternatif

Sementara itu, dua orang pembantu di restoran tempat Noradzli berkerja sudah bersedia untuk pulang ke kampung halaman di Narathiwat.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka mengakui tidak akan mengeluarkan kos yang tinggi untuk bergerak ke Perlis untuk masuk ke negara mereka.

Sebaliknya, mereka akan menggunakan laluan sungai di Rantau Panjang.

Mereka sudah “berurusan” dengan beberapa kenalan yang akan mengambil di “laluan tikus” untuk lolos ke Thailand.

MalaysiaNow difahamkan, dengan menyeberang Sungai Golok secara “haram” mereka perlu memberi bayaran upah kepada ejen sekitar RM50 hingga RM100 seorang.

Mereka hanya dibenarkan untuk datang ke pengkalan jeti apabila menerima panggilan telefon yang menandakan isyarat “lampu hijau” untuk menyeberang sungai.

Malah, sejak dahulu lagi, perkhidmatan ini sudah lama dijalankan memandangkan tidak semua orang mampu menunggu lama di laluan darat akibat kekangan masa untuk berniaga, faktor usia dan sebagainya.

“Kadang kala askar Thailand akan nampak kita lalu, tapi mereka akan periksa beg pakaian dan semua yang kami bawa. Jika tiada apa-apa yang dicurigai, mereka akan benarkan kami masuk.

“Bila nak keluar dari Thailand, saya biasanya akan lalu pengkalan jeti yang sama dan berjumpa dengan askar-askar tersebut,” katanya yang mahu dikenali sebagai Moh.

Kata Moh, ibunya akan bekalkan sedikit ketupat dan manisan kepada askar-askar berkenaan sebagai tanda terima kasih membenarkan dirinya balik beraya.

“Di sungai tu, banyak askar yang baik-baik. Mereka tahu menilai orang susah nak balik beraya macam saya atau orang yang nak susahkan dia.

“Saya sokmo (selalu) dapat lolos. Saya bawa balik makanan sahaja untuk ibu di rumah.”