- Iklan -
Berita

GPS tidak akan beri laluan kepada parti semenanjung pada PRU15

Pengerusi GPS Abang Johari Openg berkata gabungannya akan bertanding di semua 31 kerusi Parlimen di Sarawak.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Abang Johari Openg.
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Abang Johari Openg.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini menegaskan ia tidak akan memberi laluan kepada parti dari semenanjung pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, termasuk parti yang mesra dengannya.

Sebaliknya, Pengerusi GPS Abang Johari Openg berkata ia akan bertanding di semua 31 kerusi Parlimen sebaik sahaja PRU ke-15 (PRU15) diumumkan.

“Saya sudah kata (sebelum ini) kita bertanding di semua 31 kerusi,” katanya hari ini ketika ditanya sama ada GPS akan memberi laluan kepada Bersatu pada PRU15.

Bersatu yang dipimpin Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, kini menduduki dua kerusi Parlimen di Sarawak: Puncak Borneo dan Saratok.

Kedua-dua kawasan itu diwakili bekas ahli PKR: Willie Mongin di Puncak Borneo dan Ali Biju di Saratok.

Ramai yang menganggap GPS yang terdiri dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Parti Rakyat Bersatu Sarawak, Parti Rakyat Sarawak dan Parti Demokratik Progresif sebagai “kingmaker” dalam politik persekutuan.

Sokongan dari GPS dan PAS dilihat penting dalam Langkah Sheraton di mana ia menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020.

Tahun lalu, Muhyiddin berkata PN akan bekerjasama dengan GPS pada PRU akan datang, sambil menambah bahawa persefahaman dicapai ketika pertemuan diadakan bersama Abang Johari yang juga merupakan premier Sarawak beberapa minggu sebelum pilihan raya negeri (PRN) itu pada Disember.

Menurutnya, persefahaman yang dicapai tersebut termasuk Bersatu akan memberi laluan kepada GPS dengan tidak bertanding pada PRN Sarawak dan sebagai timbal balik, GPS akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

“Kami capai persefahaman bagi PRN, kami akan sokong GPS,” katanya.

“Abang Johari faham, dan dia kata bagi PRU, itu terbuka. Itulah apa yang dia kata.”