- Iklan -
Berita

Harga naik musim perayaan desak keperluan untuk Akta Sabotaj Ekonomi?

Krisis bekalan dan harga barangan asas akibat kawalan sesetengah pihak menunjukkan perlunya akta tersebut diwujudkan secepat mungkin.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang pelanggan membeli ayam di Pasar Keramat, Kuala Lumpur.
Seorang pelanggan membeli ayam di Pasar Keramat, Kuala Lumpur.

Saban tahun harga barang yang meningkat pada musim perayaan menjadi tumpuan dan aduan rakyat.

Pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri kali ini, masalah kartel yang menguasai pasaran ayam domestik pula muncul apabila ia dilaporkan menguasai sebanyak 70% bekalan ayam.

Kartel tersebut turut dilaporkan menguasai bekalan benih baka ayam, ubat dan vitamin industri.

Sebelum itu, barangan lain seperti daging lembu dilaporkan naik semasa bulan Ramadan.

Negara juga pernah berdepan beberapa kes menyorokkan bekalan gula dan minyak masak.

Selain itu, penyeludupan barangan subsidi juga turut dikesan berlaku.

Penguasaan segelintir pihak terhadap bekalan barangan boleh dikira satu bentuk sabotaj terhadap ekonomi negara dan penganiayaan kepada pengguna.

Pada 2018, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional, Abu Kassim Mohamed mengutarakan cadangan untuk mengadakan undang-undang yang dipanggil Akta Sabotaj Ekonomi, bertujuan untuk memerangi budaya “Ali Baba” dalam perolehan kerajaan.

Draf tersebut sepatutnya dibawa ke Pejabat Peguam Negara sebelum dibawa ke mesyuarat Kabinet dan dibentang dalam Parlimen pada April 2019.

Akta yang dicadangkan itu juga antara lain membendung penjualan permit import (AP).

Namun penggubalan akta itu tidak menjadi realiti apabila ia seakan hilang daripada keutamaan kerajaan dan tidak lagi disebut.

Selain sistem kartel yang menguasai barangan asas dan kawalan rantaian bekalan, masalah “Ali Baba” yang membabitkan penjualan semula tender juga menjadi barah yang melanda struktur ekonomi negara.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun lepas menahan tujuh individu yang merupakan anggota sindiket kartel memonopoli tender-tender kerajaan dengan nilai anggaran RM3.8 bilion.

Selain itu, kartel yang menukar daging haram menjadi halal selama 40 tahun pernah dihebohkan beberapa tahun kebelakangan ini.

Penganalisis ekonomi dari Universiti Tunku Abdul Rahman, Barjoyai Bardai berkata, melihat kepada negara jiran Filipina, masalah sindiket dan kartel menjadi serius sehingga hukuman tembak mati dijatuhkan terhadap ketua sindiket yang terlibat.

“Di Filipina, sabotaj ekonomi didefinisikan sebagai perlakuan atau aktiviti yang bertentangan dengan dasar kerajaan sehingga melemahkan atau menyebabkan sistem ekonomi dianggap kucar-kacir, selain memusnahkan daya maju negara.

“Ia termasuk aktiviti manipulasi harga yang memberi kesan negatif yang serius kepada orang awam terutama di dalam penjualan barangan asas dan komoditi utama.

“Di Malaysia, sebuah pasukan khas telah ditubuhkan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia namun sampai hari ini belum ada apa apa laporan kemajuan oleh pasukan khas ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

Meskipun akta tersebut mendapat sokongan Putrajaya ketika diumumkan, Barjoyai mempersoalkan sama ada wujud batu penghalang yang menghalang perkembangan positif ke arah penggubalan akta tersebut.

“Adakah kerana sindiket ini melibatkan orang politik yang berpengaruh dan mungkin mewujudkan kesan keatas reputasi parti politik tertentu dan pemimpinnya?”

Bagaimanapun, penganalisis ekonomi dari Putra Business School, Ahmed Razman Abd Latiff berkata, akta tersebut merupakan penyelesaian jangka panjang yang memerlukan pembentangan dan perdebatan di Parlimen.

Berdasarkan kadar inflasi global yang semakin meningkat, negara dijangka mengalami fenomena sama dalam masa terdekat yang memerlukan penyelesaian jangka masa pendek.

“Bagi jangka masa pendek, mekanisme yang ada pada masa ini boleh ditambah baik untuk jadikan berkesan.

“Agensi kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP) sudah mempunyai prosedur untuk memastikan harga barangan tidak naik dengan mendadak,” katanya.

Bagaimanapun, aduan-aduan kenaikan harga hanya tertumpu kepada pembeli yang berurusan dengan peniaga dan jarang membabitkan rantaian bekalan seperti pemborong, pembekal, dan pengeluar.

Katanya, peniaga boleh berdepan dengan tindakan boikot daripada pembekal atau pengeluar.

“Kita tidak boleh harapkan peniaga lapor kepada penguatkuasa.

“Agensi penguatkuasaan turun padang kerana kenaikan harga berlaku jika ada penyorokkan atau hoarding,” katanya.

Mengenai penjualan semula tender kerajaan, Razman berkata prosedur sedia ada harus ditambah baik supaya menjadi lebih terbuka dan teliti.

“Tender tidak harus dibuat tanpa maklumat yang menyeluruh. Rakyat boleh tengok dan semak secara umum.

“Jadi sukar untuk elemen rasuah dan kartel untuk terus subur,” katanya.