- Iklan -
Berita

Kriteria baru hitungan kalendar tentukan tarikh 1 Syawal, menurut ahli falak

Kerajaan menggunakan kriteria baru bagi menghitung kalendar hijrah dalam menentukan tarikh penting umat Islam.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi

Kerajaan Malaysia menggunakan kriteria baru untuk menghitung kalendar hijrah bagi menentukan tarikh penting seperti Hari Raya Aidilfitri, kata seorang ahli falak selepas rakyat Malaysia meluahkan rasa terkejut apabila Hari Raya yang dijangkakan pada Selasa diumumkan esok.

Ahli Jawatankuasa Ahli Falak Pahang Ahmad Irfan Ikmal Hisham dalam satu hantarannya di laman sosial menjelaskan, kriteria tersebut dikenali sebagai 3-6-4.

“Umur jam tidak lagi menjadi kriteria, sebaliknya dinilai sekiranya bulan pada waktu Maghrib melebihi ketinggian 3 darjah, dan jarak lengkung melebihi 6.4 darjah.

“Sekiranya sama atau lebih, esok diisytiharkan bulan baru. Sekiranya tidak, maka istikmal kepada 30 hari,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Malam tadi, penyimpan mohor besar raja-raja mengumumkan tarikh 1 Syawal yang jatuh pada 2 Mei, ketika orang ramai menjangkakan hari raya jatuh pada 3 Mei.

Ia merupakan perkara yang pernah terjadi beberapa kali di Malaysia.

Perak dan Johor pada Jun 1982 menyambut Hari Raya Aidilfitri satu hari lebih awal daripada ngeri-negeri lain seluruh Malaysia.

Orang ramai juga membandingkan tarikh 1 Syawal Malaysia dengan beberapa negara lain seperti Arab Saudi, Indonesia dan Brunei.

Irfan yang juga pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang berkata, tahun ini menyaksikan perbandingan dibuat antara kriteria lama iaitu 2-3-8.

Katanya, hisab menggunakan kriteria lama akan mencadangkan Hari Raya Aidilfitri pada 2 Mei, sementara dengan kriteria baru akan mencadangkan Raya pada 3 Mei.

Malaysia menggunakan rukyah dan imankanur rukyah bagi menentukan bilangan hari dalam sebulan, sama ada 29 atau 30 hari.

“Umat Islam di Malaysia sejak bertahun lamanya selesa dengan takwim tahunan yang disediakan oleh pihak berkuasa agama. Mereka mengandaikan takwim itu tepat.

“Hakikatnya, ketepatan takwim itu, khasnya untuk bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah, masih tertakluk kepada hasil rukyah yang akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,” tambahnya.

Justeru, beliau menggesa orang ramai untuk menyakini praktis di Malaysia dilakukan tanpa sebarang kepentingan selain menggunakan hasil perkembangan dan data bertahun-tahun.

“Prosesnya dikawal oleh ramai pemerhati, penyelidik dan pakar falak. Dokumentasi juga boleh diperolehi secara terbuka tanpa sembunyi,” katanya.