- Iklan -
Berita

Berlaku adil kepada semua termasuk pelarian, kata mufti

Mufti Negeri Sembilan Mohd Yusof Ahmad berkata Islam menuntut umatnya berlaku adil terhadap setiap insan tanpa mengira latar belakang mereka.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Polis menahan pelarian Rohingya yang lolos dari depoh tahanan Imimgresen Sungai Bakap, Pulau Pinang. Gambar: Bernama
Polis menahan pelarian Rohingya yang lolos dari depoh tahanan Imimgresen Sungai Bakap, Pulau Pinang. Gambar: Bernama

Mufti Negeri Sembilan Mohd Yusof Ahmad berkata Islam mengajar penganutnya untuk berlaku adil kepada semua termasuk pelarian atau pendatang tanpa dokumen, ketika pihak berkuasa meneruskan operasi memburu baki pelarian etnik Rohingya yang lolos dari depoh tahanan imigresen di Pulau Pinang awal bulan ini.

Menurut Yusuof, Islam tidak mendiskriminasi antara satu sama lain, dan menuntut umatnya berlaku adil terhadap setiap insan tanpa mengira latar belakang mereka.

“Pelarian merupakan golongan yang meninggalkan negara sendiri disebabkan nyawa mereka terancam dan mencari perlindungan di negata lain,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Islam tetap memuliakan keturunan manusia atau bani Adam tanpa mengira bangsa dan agama.”

20 April lalu, lebih 500 pelarian Rohingya lolos dari depoh tahanan Imigresen Sungai Bakap di Bandar Baharu, mencetuskan operasi besar-besaran bagi memburu mereka semula.

Polis turut memberi amaran kepada orang ramai bahawa pelarian yang lolos adalah berbahaya dan mungkin melakukan jenayah.

Sembilan hari selepas kejadian itu, 60 pelarian yang lolos masih tidak dapat dikesan, di mana polis berkata pihaknya akan mengeluarkan nama dan gambar pelarian yang dikehendaki bagi memudahkan mereka ditahan semula.

“Saya arahkan senarai nama bersama gambar tahanan Rohingya itu dapat disiapkan dalam tempoh segera.

“Bila keluar gambar, ada tangkapan di Kuala Lumpur atau Selangor mereka boleh bandingkan dan tahu yang mereka itu pernah lari dari pusat tahanan sebelum ini,” katanya,” kata Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad.

Sebelum ini, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) Malaysia melaporkan kira-kira 181,000 pelarian dan pencari suaka berada di negara ini.

Menurut data yang dikongsikan dalam laman sesawang UNCHR, 85% adalah dari Myanmar, termasuk 103,000 etnik Rohingya, manakala bakinya adalah pelarian dari 50 negara lain termasuk Pakistan, Yaman, Syria dan Somalia.

Namun begitu, ramai dalam kalangan pengguna media sosial meluahkan rasa tidak puas hati apabila kumpulan pelarian ini memilih Malaysia sebagai negara perlindungan, malah menggesa supaya kerajaan menghantar mereka kembali ke negara masing-masing.

Ditanya sama ada kerajaan berhak menolak permohonan pelarian untuk berlindung di Malaysia dari sudut pandangan Islam, Yusof menyatakan Islam mewajibkan setiap perkara disiasat terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Islam mewajibkan sesuatu perkara itu diteliti dan hendaklah ditolak sekiranya didapati tidak benar,” katanya.

Tambah Yusof, pelarian yang berlindung di Malaysia juga wajib mematuhi undang-undang yang ditetapkan kerajaan.

“Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia juga mempunyai undang-undang yang mesti dipatuhi oleh semua pihak,” kata Yusof.