- Iklan -
Berita

Tindakan SPRM siasat hakim sabitkan Najib bersalah sah, kata pakar undang-undang

Haidar Dziyauddin berkata akta yang digunakan SPRM tidak mempunyai kaitan dengan Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sedang menjalankan siasatan ke atas hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Ghazali selepas mendapat aduan wujud wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sedang menjalankan siasatan ke atas hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Ghazali selepas mendapat aduan wujud wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

Pakar undang-undang berkata tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap hakim yang mensabitkan hukuman bersalah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes SRC International adalah sah kerana ia mengikut akta yang diperuntukkan kepada suruhanjaya itu.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Haidar Dziyauddin berkata Akta SPRM 2009 boleh digunakan terhadap semua rakyat Malaysia termasuk seorang hakim, justeru, badan pencegahan rasuah itu tidak melakukan sebarang kesalahan.

Haidar turut menjelaskan akta yang digunakan SPRM tidak ada kaitan dengan Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan kerana siasatan dilakukan menjurus kepada elemen salah laku jenayah dan bukannya isu disiplin.

“Individu yang mengeluarkan kenyataan menyatakan bahawa SPRM salah kerana mengambil tindakan, mungkin keliru dengan bidang kuasa tribunal dan jawatankuasa kod etika yang diperuntukkan Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada MalaysiaNow.

“SPRM hanya gunakan akta yang diperuntukkan kepada mereka, dan ia boleh digunakan kepada semua rakyat Malaysia. Hakim itu juga adalah rakyat Malaysia.”

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata ia tertakluk dengan prosedur untuk menyiasat sebarang laporan atau aduan walaupun terhadap penjawat awam termasuk hakim.

Baru-baru ini, SPRM memulakan siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Ghazali berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Nazlan yang merupakan hakim Mahkamah Tinggi pada 2020 mendapati Najib bersalah bagi kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Beliau menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta ke atas bekas perdana menteri itu.

Namun begitu, Badan Peguam Malaysia menyatakan siasatan SPRM terhadap Nazlan merupakan tindakan yang bertentangan dengan Perlembagaan dan melanggar doktrin pengasingan kuasa serta menjejaskan kebebasan Badan Kehakiman.

Mengulas mengenai perkara ini, Haidar menjelaskan tindakan di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan hanya merujuk kepada salah laku melibatkan pelanggaran kod etika dan disiplin, serta tidak mencakupi perbuatan menyalahi undang-undang lain termasuk jenayah.

“Dalam jawatankuasa etika seorang hakim, sekiranya dia didapati tidak patuh kepada kod tersebut, hakim itu boleh dihadapkan ke tribunal atau jawatankuasa kod etika,” katanya.

“Bagaimanapun, jawatankuasa ini tiada kuasa nak jatuhkan hukuman seperti yang diperuntukkan dalam Akta SPRM atau Kanun Jenayah Negara.”

Menurut Haidar, menerusi kod etika hakim, hanya terdapat dua keputusan yang boleh diambil iaitu memberi amaran atau menggantung (suspend) hakim tersebut tidak melebihi dari setahun.

“Itu sahaja. Jadi ia tiada hukuman penalti, kompaun atau penjara,” tambahnya.