- Iklan -
Berita

KKM kini dapat tumpu urus epidemik penyakit tidak berjangkit, kata Khairy

Menurut Khairy, berbanding Covid-19, gejala atau kemudaratan epidemik penyakit tidak berjangkit hanya dapat lihat beberapa tahun akan datang jika tidak ditangani sekarang.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin. Gambar: Bernama

Kementerian kesihatan (KKM) kini dapat memberi tumpuan kepada pengurusan epidemik penyakit tidak berjangkit (NCD) berikutan pandemik Covid-19 dalam negara sudah berjaya dikawal, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata walaupun pandemik Covid-19 merupakan kecemasan dari segi kesihatan awam tetapi ia hanya dalam tempoh yang singkat berbanding epidemik NCD yang bersifat lebih berjangka panjang.

“Kalau kita dijangkiti Covid-19, kita nampak simptom dalam tempoh tiga atau empat hari, tetapi kalau kita menghidap NCD, gejala atau kemudaratan itu mungkin hanya kita lihat beberapa tahun akan datang.

“Covid-19 adalah ‘clear and present danger’ kepada kita tetapi NCD adalah ibarat bom waktu, ia ada tetapi suatu hari ia akan meletup dan apabila ia meletup sudah terlambat sebab kita terpaksa menjaga atau merawat dan kita tidak dapat melaksana tindakan untuk mencegah NCD itu menjadi lebih teruk kepada rakyat,” katanya pada majlis perasmian Laporan Skim Peduli Kesihatan B40 (Peka B40) Tahun 2021 semalam.

Khairy berkata Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 melaporkan NCD telah menyumbang 67% daripada kematian pramatang.

Laporan NHMS menyatakan satu daripada lima dewasa di Malaysia menghidap diabetes atau seramai 3.9 juta orang berumur 18 tahun dan ke atas, tiga dari 10 orang di Malaysia atau 6.4 juta orang di Malaysia mempunyai darah tinggi dan empat dalam 10 orang atau lapan juta orang di Malaysia mempunyai kolesterol tinggi, katanya.

Justeru, Khairy berkata saringan kesihatan berkala berupaya untuk mengesan sesuatu NCD dengan lebih awal dan seterusnya intervensi dan rawatan dapat diberikan sebelum sesuatu penyakit menjadi lebih serius atau parah.

Beliau berkata skim Peka B40, yang merupakan inisiatif kerajaan di bawah KKM dan dijalankan oleh ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, bertujuan menangani beban NCD yang semakin meningkat khususnya dalam kalangan golongan B40 dan sejak diperkenalkan pada 2019 hingga 31 Mac lepas, Peka B40 telah menyaring seramai 582,746 orang.

Fokus utama inisiatif tersebut adalah strategi pencegahan peringkat awal melalui empat manfaat kesihatan yang ditawarkan iaitu saringan kesihatan percuma, bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif pengangkutan, katanya.

“Sebahagian besar daripada mereka (yang disaring) tidak tahu bahawa mereka menghidap satu penyakit atau penyakit kronik yang dapat diberi rawatan melalui KKM. Daripada jumlah yang disaring ini, seramai 186,610 orang dikesan mempunyai sekurang-kurangnya satu NCD.

“Perkara ini sangat membimbangkan kerana masih ramai lagi penerima Peka B40 yang layak tetapi tidak datang dan melakukan saringan kesihatan dan mereka tidak mengetahui status kesihatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd Anas Alam Faizli berkata tiga NCD yang tertinggi dalam kalangan kumpulan B40 di Malaysia yang telah disaring adalah darah tinggi, kolesterol tinggi dan diabetes.

Bagi manfaat Bantuan Alat Perubatan, sejak 2019 hingga 31 Disember 2021, sebanyak 30,864 permohonan telah diluluskan untuk alatan pembedahan dan alatan bukan pembedahan.

“Intraocular Lense merekodkan permohonan tertinggi iaitu 41.7% daripada jumlah permohonan, diikuti oleh bantuan alat pendengaran (22.5%) dan stent jantung sebanyak 6.7%,” katanya.

Bagi manfaat insentif melengkapkan rawatan kanser, sebanyak 4,721 permohonan telah diluluskan untuk 2021.

Beliau berkata tiga jenis kanser tertinggi dikesan sepanjang 2021 ialah kanser payudara, diikuti kumpulan kanser sistem pencernaan dan kumpulan kanser telinga, hidung dan tekak.