- Iklan -
Berita

Pelitup muka wajib di kawasan tertutup sekolah namun ada pengecualian, kata Radzi

Bagaimanapun, pemakaiannya tetap digalakkan ketika berada di kawasan terbuka dalam premis sekolah.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi

Pelitup muka masih wajib dipakai ketika berada di kawasan tertutup dalam premis sekolah kecuali dalam situasi tertentu berkuat kuasa 1 Mei ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin.

Beliau berkata pengecualian pemakaian pelitup muka antara lain adalah ketika bersendirian, ketika guru mengajar dalam kelas, individu berkeperluan khas, individu yang mengalami masalah pernafasan, semasa melakukan aktiviti sukan dan rekreasi dan melibatkan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah.

“Pemakaian pelitup muka adalah digalakkan ketika berada di luar bangunan dan kawasan terbuka dalam premis sekolah atau ketika sedang melakukan aktiviti secara berkumpulan,” katanya pada sidang media mengenai pengoperasian sekolah hari ini.

Ia susulan pengumuman kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 di negara ini oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semalam, antaranya pemakaian pelitup muka di luar bangunan akan menjadi pilihan bukan lagi satu kewajipan, selain tidak wajib mengimbas aplikasi MySejahtera untuk memasuki premis.

Radzi berkata penjarakan fizikal yang menetapkan jarak satu meter antara satu meja dengan meja yang lain sebelum ini, dimansuhkan.

“Keberadaan satu meter ini telah menimbulkan beberapa kekangan kepada sekolah. Namun, penjarakan fizikal adalah digalakkan dalam keadaan tidak memakai pelitup muka,” katanya.

Radzi berkata imbasan kod QR MySejahtera juga tidak diwajibkan apabila memasuki premis institusi pendidikan.

Mengenai kehadiran murid, guru, pegawai pengurusan dan anggota kumpulan pelaksana (AKP) ke sekolah, beliau berkata kehadiran mereka adalah diwajibkan dan perlu melakukan ujian kendiri Covid-19 sekiranya bergejala.

Bagi pengurusan murid bergejala dan positif Covid-19, Radzi berkata murid berkenaan perlu diasingkan di bilik isolasi terlebih dahulu.

“Murid itu perlu menjalani ujian kendiri dan sekiranya didapati negati, murid boleh mengikuti pembelajaran dengan memakai pelitup muka dan sekiranya positif, guru perlu menghubungi ibu bapa bagi tindakan seterusnya,” katanya.