Wednesday, June 29, 2022

Wisma Putra bincang dengan BNM untuk bantu urusan bank warga Malaysia di Rusia

Wujud kebimbangan sama ada penggunaan kad debit menggunakan jaringan Union Pay boleh diteruskan di negara itu.

Other News

Kementerian luar (Wisma Putra) akan berbincang dengan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai pilihan lain bagi rakyat Malaysia di Rusia sebagai persediaan sekiranya mereka tidak dapat membuat transaksi kewangan berikutan sekatan ke atas bank-bank di negara itu.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata buat masa ini 816 rakyat Malaysia di negara itu yang terdiri dari 779 pelajar dan 37 ekspatriat masih boleh membuat transaksi kewangan dengan beberapa buah bank Rusia yang menjalankan perkhidmatan Union Pay.

Bagaimanapun, katanya, mereka meluahkan kebimbangan jika bank-bank berkenaan tidak lagi dapat menyediakan perkhidmatan itu.

“Walaupun mereka boleh menggunakan Union Pay, katakanlah ada tiga bank yang sepatutnya boleh menjalankan transaksi itu, tetapi tidak semestinya ketiga-tiga bank itu menjalankan transaksi Union Pay seperti yang sepatutnya.

“Oleh itu, ada kerisauan sejauh mana dan selama mana kad debit yang menggunakan jaringan Union Pay ini boleh diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sidang video bersama 270 rakyat Malaysia di Rusia, hari ini.

Turut serta dalam sidang video itu ialah duta Malaysia ke Rusia Bala Chandran Tharman, penasihat kedutaan Abdul Aziz How Abdullah, konsul Fadzil Noor Samiran dan para pegawai kedutaan.

Selain itu, Saifuddin berkata walaupun rakyat Malaysia masih dibenarkan membuat perjalanan ke Rusia, namun mereka yang ingin ke sana ketika ini sama ada untuk menyambung pelajaran mahupun urusan kerja, mungkin menghadapi kesulitan membuka akaun Union Pay di Malaysia sebelum ke negara itu.

Saifuddin berkata Wisma Putra dengan kerjasama kedutaan Malaysia di Moscow sentiasa berhubung dengan kerajaan Rusia serta kedutaan Rusia di Kuala Lumpur untuk memantau situasi di negara itu.

“Mata wang mereka (Ruble) nampaknya naik dan kadar inflasi juga sedang meningkat. Lazimnya, menjelang musim panas akan ada kenaikan harga barang, namun kita bimbang jika dicampur dengan kenaikan harga disebabkan oleh sekatan, itu mungkin menyebabkan kesusahan khususnya bagi pelajar yang mempunyai kewangan terhad sebab ramai pergi ke sana dengan belanja sendiri,” katanya.

Saifuddin juga menyeru rakyat Malaysia di negara itu yang masih belum mendaftar dengan pihak kedutaan untuk segera berbuat demikian bagi memudahkan penyampaian maklumat termasuk mengenai keselamatan dan urusan perbankan.

“Selalunya bila rakyat Malaysia pergi ke luar negara memang kita tidak wajibkan mereka untuk berdaftar dengan kedutaan, tetapi kalau bermastautin, bekerja atau belajar, sebaik-baiknya kita berdaftar sebab kita tidak tahu apa akan berlaku.

“Contohnya apabila wabak Covid-19 bermula di China, minggu pertama mesyuarat Nadma (Agensi Pengurusan Bencana dan Negara), jumlah rakyat Malaysia di China 30,000, minggu kedua 70,000, minggu ketiga 120,000, jadi maknanya orang mendaftar jika ada keperluan dan sekarang di Rusia memang ada keperluan untuk mendaftar,” katanya.

Menurut Saifuddin terdapat ibu bapa pelajar yang bertanya jika anak mereka boleh pulang dan menyambung pelajaran di Malaysia, namun ia bergantung kepada kerjasama antara universiti Malaysia dengan Rusia.

“Kalau ada universiti yang bersedia untuk membuat saling pengiktirafan, melibatkan permohonan dan credit transfer, ia boleh dilaksanakan tetapi bergantung kepada pihak universiti,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan pelajar berkenaan menyambung pengajian dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan penerbangan (aviation).

Rusia dikenakan pelbagai sekatan ekonomi termasuk oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah berikutan operasi ketenteraanya ke atas Ukraine sejak 24 Februari lepas.

Susulan sekatan berkenaan, sesetengah rakyat Malaysia di negara itu berdepan gangguan dalam mengakses perkhidmatan perbankan dan kewangan seperti Pindahan Dana Elektronik (EFT) dari Malaysia ke akaun mereka dengan bank tertentu di Persekutuan Rusia.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles