- Iklan -
Berita

SOP pelitup muka tidak lagi wajib di luar bangunan, kata Khairy

SOP penjarakan fizikal juga tidak lagi wajib selepas kelonggaran SOP Covid-19 dikuatkuasakan pada 1 Mei.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai beratur dan membuat imbasan kod aplikasi MySejahtera sebelum masuk ke pusat beli-belah Midvalley. Bermula 1 Mei, orang ramai tidak lagi perlu memakai pelitup muka di kawasan terbuka, namun masih diwajibkan ketika berada dalam bangunan.
Orang ramai beratur dan membuat imbasan kod aplikasi MySejahtera sebelum masuk ke pusat beli-belah Midvalley. Bermula 1 Mei, orang ramai tidak lagi perlu memakai pelitup muka di kawasan terbuka, namun masih diwajibkan ketika berada dalam bangunan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka tidak lagi wajib ketika berada di luar bangunan berkuatkuasa pada 1 Mei depan.

Dalam sidang media hari ini, Khairy berkata pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan di dalam kawasan tertutup (indoor) dan pengangkutan awam termasuk perkhidmatan e-hailing.

Menurut Khairy, pelitup muka boleh ditanggalkan semasa melakukan senaman berat dalam bangunan, ketika makan dan minum, membuat persembahan atau memberi ucapan.

Bagaimanapun, kementerian mengesyorkan amalan pemakaian pelitup muka diteruskan walaupun di kawasan terbuka terutama kepada mereka yang berisiko tinggi.

Berhubung penjarakan fizikal, Khairy berkata SOP tersebut tidak lagi diperlukan.

“Namun begitu, penjarakan fizikal digalakkan dalam keadaan tidak memakai pelitup muka,” katanya.

Dalam pada itu, individu yang disahkan positif Covid-19 boleh dilepaskan daripada kuarantin pada hari keempat sekiranya mereka disahkan negatif berbanding sebelum ini di mana pesakit hanya dilepaskan pada hari ketujuh.

Sekiranya mereka masih positif, pesakit perlu melengkapkan tempoh seminggu kuarantin.

Berkenaan SOP imbasan kod QR MySejahtera, Khairy berkata ia tidak lagi diwajibkan ketika memasuki premis atau tempat awam.

“Bagaimanapun saya menyeru supaya anda mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak.”

Bagaimanapun individu yang tidak dibenarkan masuk ke premis hanya mereka yang disahkan positif dan individu dalam tempoh kuarantin kendiri.

“Pihak pengurusan premis hendaklah menyemak status risiko individu dalam aplikasi MySejahtera yang akan memasuki premisnya.”

Di bawah SOP yang dilonggarkan, ujian saringan sebelum berlepas dan semasa ketibaan bagi pengembara turut digugurkan untuk mereka yang berusia 13 tahun ke atas dan lengkap vaksinasi, pengembara yang mempunyai sejarah jangkitan Covid-19 dalam tempoh enam ke 60 hari dari tarikh sembuh dan pengembara berusia 12 tahun dan ke bawah tanpa mengira status vaksinasi.

“Semua protokol ujian saringan digugurkan untuk kategori ini,” kata Khairy, sambil menambah bahawa pengembara yang tidak divaksinasi dan mereka yang masih belum melengkapkan vaksinasi mereka masih perlu menjalani ujian saringan.

Pengembara yang mempunyai gejala Covid-19 semasa ketibaan juga akan diberitahu untuk menjalani ujian saringan di pintu masuk negara.

Khairy juga berkata Semua senarai aktiviti yang tidak dibenarkan di dalam SOP Majlis Keselamatan Negara terbitan 1 April 2022 akan dibenarkan mulai 15 Mei.