- Iklan -
Berita

Pengurusan bagi rayuan Sam berhubung sabitan kes basikal lajak 11 Mei depan

Pengurusan kes itu ditetapkan di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sam Ke Ting menerima hukuman enam tahun penjara dan denda RM6,000 minggu lalu kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja pada 2017. Gambar: Bernama
Sam Ke Ting menerima hukuman enam tahun penjara dan denda RM6,000 minggu lalu kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja pada 2017. Gambar: Bernama

Rayuan kerani wanita terhadap hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menaiki basikal lajak lima tahun lepas, ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 11 Mei ini.

Peguam Muhammad Faizal Mokhtar yang mewakili Sam Ke Ting memaklumkan tarikh pengurusan kes itu ketika dihubungi hari ini.

Menerusi semakan sistem mahkamah, pengurusan kes itu ditetapkan di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron yang akan berlangsung melalui sidang video.

Pada 18 April lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Sam, 27, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi dan wanita itu dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 serta seorang penjamin, sementara rayuannya didengar di mahkamah berkenaan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai P Ravinthran bersama-sama Lee Heng Cheong dan Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut membenarkan permohonan Sam untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 13 April lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Abu Bakar Katar yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Sam turut memerintahkan wanita itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik menjalani tempoh pemenjaraan.

Mahkamah itu memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun lepas, yang melepas dan membebaskan wanita itu daripada pertuduhan berkenaan.

Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor pada 3.20 pagi 18 Februari 2017.

Lapan remaja yang maut dalam kejadian itu terdiri daripada Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.