Monday, July 4, 2022

Mahkamah Singapura tolak rayuan ibu, hukuman gantung Nagaenthran tetap diteruskan

Hukuman mati Nagaentran K Dharmalingam akan dilaksanakan mengikut jadual pagi esok.

Other News

Mahkamah Rayuan Singapura menolak usul jenayah yang dikemukakan ibu Nagaenthran K Dharmalingam dalam percubaan terakhir menyelamatkan anaknya dari tali gantung.

Keputusan tersebut bermaksud Nagaentran akan tetap menjalani hukuman matinya pada pagi esok seperti yang dijadualkan.

Peguam N Surendran berkata rayuan itu ditolak dalam “keadaan yang mengejutkan”.

“Rayuan ibunya untuk dibenarkan melantik peguam tidak diendahkan mahkamah,” ciapnya di Twitter.

“Keputusan itu disampaikan tanpa mendengar hujahan pihak Nagaenthran – ia adalah satu tindakan yang sangat kejam dan tidak menghiraukan kedaulatan undang-undang. Nazi juga melakukan perkara serupa.”

Peguam hak asasi terkemuka M Ravi dalam hantaran Facebook turut menyifatkan keputusan itu sebagai “hari gelap” bagi Singapura.

Beliau turut menyuarakan kekesalannya berikutan peguam Singapura yang dilihat “takut untuk mewakili Nagaenthran”, sambil menambah peguam negara Singapura memfailkan tuntutan kos S$40,000 daripadanya dan seorang lagi peguam Violet Netto yang menjadi pasukan pembelaan Nagaenthran sepanjang tempoh proses undang-undang banduan warga Malaysia itu.

“Saya baru terima tuntutan itu,” katanya, sambil menambah kos tersebut adalah untuk “menghukum kami secara peribadi”.

Semalam, Panchalai memfailkan usul jenayah di Mahkamah Rayuan Singapura bagi mencabar keabsahan penghakiman terdahulu atas alasan konflik kepentingan.

Cabaran undang-undang itu diambil berdasarkan alasan hakim yang mengetuai dan menolak rayuan Nagaenthran – iaitu Sundaresh Menon – juga merupakan peguam negara yang mendakwa Nagaenthran dan menyebabkan sabitan kesalahannya.

Beliau hadir di mahkamah hari ini mewakili anaknya selepas tidak berjaya mendapatkan khidmat peguam.

Nagaenthran dijadualkan menjalani hukuman itu pada pagi esok selepas gagal dalam semua rayuannya terhadap sabitan hukuman yang disampaikan pada 2010 kerana menyeludup sejumlah kecil heroin ke Singapura.

Penyokong berkata Nagaenthran yang mempunyai skor IQ sebanyak 69 – tahap yang membolehkannya diisytihar sebagai orang kurang upaya (OKU) mental – dipaksa melakukan jenayah tersebut.

Sebelumnya, Nagaenthran dijadualkan menjalani hukuman itu pada November tahun lalu, namun keputusan itu mencetuskan kritikan antarabangsa berikutan statusnya sebagai OKU.

Kesatuan Eropah dan taikun Britain Richard Branson adalah antara yang mengecam keputusan mahkamah tersebut.

Pemimpin kerajaan Malaysia termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut menulis surat kepada kerajaan Singapura memohon supaya hukuman terhadapa Nagaenthran diringankan.

Petisyen terbaru pengampunan bagi Nagaenthran turut ditolak pada 31 Mac, dua hari selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan terhadap hukuman matinya.

Pendengaran hari ini dilaksanakan di hadapan hakim Andrew Phang, Judith Prakash dan Belinda Ang.

Pendakwa raya di Jabatan Peguam Negara berkata hujah konflik kepentingan adalah tidak berasas kerana Nagaenthran sebelum ini tidak membantah penglibatan Menon.

Mereka juga berkata Menon tidak membuat sebarang keputusan berkait kes Nagaenthran semasa memegang jawatan sebagai peguam negara.

Sementara itu, Phang berkata permohonan saat akhir oleh Panchalai dilihat seakan “percubaan yang telah dirancang” bagi melewatkan proses akhir mahkamah.

Selepas permohonan Panchalai ditolak, Nagaentran dibenarkan untuk bertemu dan berpegangan tangan dengan tujuh ahli keluarganya yang hadir di mahkamah hari ini, lapor Bernama.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles