- Iklan -
Berita

Bilionair Britain sekali lagi gesa Singapura selamatkan nyawa Nagaenthran

Richard Branson berkata hukuman itu telah mencalarkan reputasi Singapura sebagai negara maju.

AFP
3 minit bacaan
Kongsi
Aktivis membantah hukuman mati ke atas Nagaenthran K Dharmalingam ketika protes di Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur.
Aktivis membantah hukuman mati ke atas Nagaenthran K Dharmalingam ketika protes di Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur.

Taikun Britain, Richard Branson pada Selasa sekali lagi menggesa Singapura menyelamatkan nyawa seorang banduan bilik akhir warga Malaysia yang didiagnosis sebagai orang  kurang upaya (OKU) mental, memberitahu AFP bahawa hukuman mati itu telah mencalarkan reputasi Singapura.

Nagaenthran K Dharmalingam yang disabitkan kesalahan mengedar sejumlah kecil heroin ke Singapura akan menjalani hukuman gantung pada Rabu selepas keputusan tersebut disampaikan lebih sedekad lalu.

Pelaksanaan hukuman tersebut telah mencetuskan bantahan antarabangsa, di mana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Kesatuan Eropah (EU) turut menyuarakan kritikan, menyifatkannya sebagai satu tindakan kejam dan tidak berkesan dalam mencegah jenayah.

Dalam temu bual dengan AFP, Branson yang merupakan salah seorang individu yang terkenal menentang hukuman mati, menggesa Presiden Singapura Halimah Yacob memberikan pengampunan Nagaenthran.

“Saya benar-benar berharap pada petang Rabu, beliau tidak membiarkan lelaki muda ini mati di atas tangannya,” kata pengasas syarikat penerbangan Virgin Group itu.

Branson merupakan sebahagian daripada kumpulan dan pemimpin perniagaan lain yang berkempen menentang hukuman mati dan menggesa presiden negara itu memberi pengampunan kepada Nagaenthran.

“Kami hanya merayu agar dia diberi pengampunan. Kami mohon supaya beliau pertimbangkan semula sama ada pada zaman ini, Singapura patut terlibat dalam menjalankan hukuman gantung orang sampai mati.

“Ia sangat tidak berperikemanusiaan. Saya tidak fikir negara bertamadun perlu terlibat dalam tindakan membunuh rakyat mereka sendiri, atau sesiapa pun,” katanya.

Walaupun peranan presiden dilihat hanya sebagai satu simbol di Singapura, namun Halimah mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan, di mana ia merupakan peluang terakhir Nagaenthran untuk terlepas hukuman itu selepas gagal dalam semua proses rayuannya.

‘Mansuhkan hukuman mati’

Branson berkata beliau sangat menghormati republik yang terkenal sebagai hab kewangan itu, namun hukuman mati yang dijalankannya adalah satu aspek yang “sangat negatif” mengenai Singapura.

“Ia adalah satu-satunya aspek yang cacat sekali gus memburukkan reputasinya,” kata taikun berusia 71 tahun itu melalui panggilan video dari rumahnya di British Virgin Islands.

Branson turut menggesa Singapura “memansuhkan hukuman mati” dan bertindak seperti kebanyakan negara bertamadun lain.

Sebelum ini, Nagaenthran, 34, dijadualkan menjalani hukuman itu pada November tahun lalu.

Rayuan terhadap hukumannya ditolak oleh mahkamah Singapura bulan lalu.

Dia ditahan ketika berusia 21 tahun sewaktu masuk ke Singapura dengan sejumlah heroin seberat 43g – yang bersamaan dengan kira-kira tiga sudu besar.

Penyokong Nagaenthran berkata dia yang mempunyai skor IQ sebanyak 69 – yang membolehkannya diisytihar sebagai OKU – telah dipaksa untuk melakukan jenayah tersebut.

Namun pihak berkuasa tetap mempertahankan sabitan ke atasnya, mengatakan keputusan undang-undang mendapati dia tahu apa yang dilakukannya ketika kesalahan itu dibuat.

Ibu Nagaenthran, Panchalai Supermaniam akan mengemukakan cabaran undang-undang di Mahkamah Rayuan Singapura pada Selasa.

Walaupun peluang untuk berjaya dalam kes tersebut dilihat tipis, namun Branson menggesa hakim yang mendengar kes itu untuk “bersikap penuh perikemanusiaan terhadap ibu lelaki muda ini”.

Kes Nagaenthran juga turut menimbulkan kebimbangan di Singapura, di mana ratusan warga mengadakan acara protes menyalakan lilin di Speakers Corner pada Isnin bagi membantah hukuman mati.

Selepas lebih dua tahun tidak menjalankan hukuman mati, Singapura kembali melaksanakannya bulan lalu dengan menjalankan hukuman itu ke atas seorang pengedar dadah.

Aktivis bimbang pihak berkuasa Singaura akan memulakan satu siri pelaksanaan  hukuman mati – dengan seorang lagi warga Malaysia disabitkan kesalahan dadah dijadualkan dihukum gantung pada Jumaat, manakala beberapa banduan bilik akhir lain turut gagal dalam rayuan mereka baru-baru ini.

Singapura tetap mempertahankan penggunaan hukuman mati, yang dikekalkan bagi beberapa kesalahan berat di negara itu.

Pihak berkuasa menegaskan ia membantu dalam usaha mengekalkan negara kota itu sebagai salah satu tempat paling selamat di Asia.