Wednesday, June 29, 2022

Rosmah gagal percubaan kedua mohon hakim kes gubah wang haram tarik diri

Hakim Zaini dalam menolak permohonan Rosmah itu berkata permohonan kedua ini adalah berdasarkan kepada asas yang sama dengan permohonan pertama.

Other News

Rosmah Mansor sekali lagi gagal dalam permohonannya supaya hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kesnya berkaitan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

Ini adalah kali kedua isteri bekas perdana menteri Najib Razak memfailkan permohonan selepas Zaini, yang juga merupakan hakim bagi kes hibrid solar melibatkan Rosmah, menolak permohonan Rosmah yang dibuat pada 14 Disember, bagi beliau menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

Hakim Zaini dalam menolak permohonan Rosmah itu berkata permohonan kedua ini adalah berdasarkan kepada asas yang sama dengan permohonan pertama, iaitu beliau juga merupakan hakim yang membicarkan kes perbicaraan hibrid solar Rosmah.

Hakim itu berkata bagaimanapun pemohon (Rosmah), kini telah memohon untuk memasukkan dua lagi kes yang beliau kendalikan iaitu kes pelucuthakan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di mana pemohon adalah salah seorang responden dan kes audit 1MDB.

“Apa yang pemohon lakukan dengan memasukkan dua kes tambahan itu, hanya menambahkan ‘warna’ pada permohonannya. Bagaimanapun pada asasnya sama seperti alasan yang dikemukakan pada permohonan pertama, kerana ia berkaitan kepda penglibatan dan keputusan yang saya buat dalam kes-kes ini.

“Saya perlu tambah bahawa saya bingung apabila pemohon telah menyebut kes pelucuthakan 1MDB dan kes audit 1MDB dalam permohonannya. Dalam kes pelucuthakan 1MDB, saya telah menolak permohonan pendakwaan untuk melucuthakan harta miliknya.

“Kes audit 1MDB sebaliknya tidak berkaitan dengan pemohon langsung. Saya berpandangan bahawa pemohon perlu dihentikan daripada mengemukakan permohohanan lagi untuk penarikan diri hakim. Doktrin ‘res judicata’ terpakai dalam permohonan kedua ini,” katanya.

Zaini berkata hujah-hujah awal yang telah dikemukakan oleh pemohon dalam kes pelucuthakan 1MDB dan kes audit 1MDB boleh dilihat semula dalam permohonan pertama, kerana ia berada dalam pengetahuan pemohon pada ketika pmohonan pertama dibuat.

“Kepentingan awam menuntut bahawa mesti ada penamat kepada litigasi, dan pihak-pihak berkenaan tidak seharusnya dibenarkan untuk membuat litigasi terhadap isu yang sama berulang kali. Maka dengan ini permohonan pemohon adalah ditolak,” katanya.

Bagaimanapun Zaini membenarkan permohonan peguam Rosmah Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin untuk menangguhkan perbicaraan kes pengubahan wang haram, yang pada asalnya telah ditetapkan pada Rabu (27 April), sementara menunggu penyelesaian rayuan Rosmah mengenai keputusan hari ini di Mahkamah Rayuan.

“Dengan ini perbicaraan ditangguhkan,” kata hakim itu selepas pihak pendakwaan tidak menolak permohonan untuk penangguhan itu.

Rayuan Rosmah berhubung permohonan pertama masih lagi belum dibacarakan di Mahkamah Rayuan. Kes rayuan itu telah ditetapkan untuk pengurusan kes pada 19 Mei.

Sementara itu Zaini juga menetapkan 24 Mei untuk sebut semula kes permohonan Rosmah untuk melucutkan kelayakan bekas hakim Mahkamah Persektuan Gopal Sri Ram daripada bertindak sebagai ketua pendakwa dalam kes pengubahan wang haramnya.

Rosmah, 70, berdepan dengan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles