- Iklan -
Berita

Baik buruk berkongsi tentang masalah mental di media sosial

Walaupun berkongsi pengalaman peribadi boleh membentuk persekitaran yang lebih terbuka, namun ia juga boleh memberi kesan 'counter productive'.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Penumpang LRT menatal telefon pintar sebelum turun ke destinasi masing-masing.
Penumpang LRT menatal telefon pintar sebelum turun ke destinasi masing-masing.

Walaupun dianggap sesuatu yang “memalukan” atau “menggelikan” untuk berkongsi tentang kemurungan dan kesunyian dalam media sosial seperti Instagram, TikTok dan Twitter, pandemik Covid-19 merubah segalanya.

Saban hari, media sosial dipenuhi dengan perkongsian kisah yang menceritakan hidup mereka kesunyian, bergelut dengan jangkaan dan harapan orang sekeliling, kekangan masa dan kesempitan wang serta macam-macam lagi.

Dengan terbuka, mereka turut berkongsi pengalaman ketika disahkan mengalami penyakit mental dan jenis-jenis rawatan yang sedang diterima, malah ada juga yang menunjukkan pelbagai ubat-ubatan yang perlu diambil bagi memastikan mereka dapat menjalani hidup dengan baik.

Pakar psikiatri dan psikologi juga mengakui trend tersebut semakin berkembang sejak pandemik Covid-19 melanda dengan ramai individu mengalami masalah kesihatan mental akibat kehilangan pekerjaan, berjauhan dengan keluarga, tekanan pembelajaran dan pekerjaan dan isolasi daripada rangkaian sokongan seperti rakan-rakan.

Seorang pakar psikiatri, Dr Ahmad Rostam Md Zin melihat trend ini sebagai sesuatu yang wajar disokong terutama sekali mereka yang benar-benar sudah didiagnosis oleh doktor dan pegawai psikologi klinikal mempunyai masalah psikiatri.

Beliau yakin dan percaya, setiap perkongsian yang membawa manfaat kepada orang ramai seharusnya diberi perhatian dan sokongan.

Bagaimanapun, Rostam tidak bersetuju sekiranya trend tersebut memberikan naratif yang negatif terhadap penyakit dan rawatan psikiatri.

Katanya, setiap pengalaman individu yang menjalani rawatan psikiatri adalah berbeza dan tidak wajar dijadikan tanda aras rawatan kepada individu yang lain.

“Sebagai contoh, Pesakit A kata makan ubat S menyebabkan dia ada masalah ini dan itu. Contoh itu mungkin benar pada pesakit A tetapi tidak kepada pesakit B atau C dan sebagainya,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Memandangkan perkara negatif biasanya menjadi tumpuan di media sosial, maka ia boleh membentuk persepsi negatif yang terpesong pada rawatan dan ubatan. Ini akan menjadi ‘counter productive’ dalam usaha kita menggalakkan orang untuk mendapatkan rawatan.”

Isu kesunyian amat sinonim dengan golongan muda yang seringkali dianggap terasing dengan masyarakat dan membesar dengan medium digital seperti internet.

Ini menyebabkan kesunyian sukar ditangani kerana ia boleh jadi simptom kepada rangkaian masalah emosi yang lain seperti kemurungan (depression), keresahan (anxiety), skizofrenia (schizophrenia) dan gangguan bipolar (bipolar disorder).

Meskipun kesunyian bukanlah sejenis penyakit mental, namun konsepnya sering dikaitkan dengan masalah mental yang kompleks kerana kekurangan interaksi sosial.

Hakikatnya, kesunyian sesuatu yang tidak boleh dizahirkan dengan mata kasar tetapi boleh dirasai dengan mendalam.

Lazimnya, isu kesunyian dan masalah mental sukar dikongsikan memandangkan ianya menjadi topik yang “taboo” atau cuba dielakkan untuk dibincangkan dalam kalangan masyarakat.

Namun, dari situlah masalah sebenarnya timbul apabila kesepian mula berhubungan dengan media sosial yang pada akhirnya dilihat berjaya eksploitasi pengguna untuk terpaku pada skrin gajet masing-masing.

Apabila terbiasa dan membesar dengan rutin ini, golongan muda terdedah kepada kesan psikologi yang kritikal iaitu mencipta ilusi bahawa dunia media sosial lebih indah berbanding dunia nyata.

Akhirnya, media sosial menjadi tempat luahan dan diari aktif untuk generasi ini.

Kesan dan akibat

Atas sebab itu, Rostam sekali lagi mengingatkan supaya mereka sentiasa berhati-hati dengan penulisan dan isi kandungan perkongsian yang dimuat naik di media sosial memandangkan pengalaman diagnosis dan masalah individu adalah unik dan bukan generik.

Tambahnya, nasihat dan pandangan yang diberikan secara terbuka oleh orang yang bukan ahli mampu menyebabkan lebih banyak masalah timbul kerana menyandarkan pengalaman sendiri dan bukan disasarkan pada masalah sebenar orang lain.

Sementara itu, pakar psikologi kaunseling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Fauziah Mohd Saad berkata susulan hampir 70% pengguna media sosial terdiri daripada golongan muda, ia menjadi tumpuan utama mereka untuk berinteraksi dan mendapat rakan-rakan baru.

Justeru itu, setiap perkongsian yang disiarkan perlu dinilai pada niat masing-masing sama ada untuk berkongsi pengalaman atau memancing simpati kepada mereka atas keadaan kesihatan mental yang dialami.

“Kalau misalnya mereka mendapat komen yang bagus okaylah. Tapi dia kena terimalah sudalah anda kemurungan kemudian ada keluar komen yang menyakitkan hati.

“Jadi, mampu tak dia terima? Bila anda sudah buat keputusan (untuk berkongsi) kena lah bertanggungjawab dengan keputusan anda.

“Perkara yang sangat peribadi kita kongsikan kepada orang. Adakah mereka akan baik atau tidak dengan anda,” katanya kepada MalaysiaNow.

Kelompok milineal bukan satu-satunya yang memonopoli tempoh penggunaan skrin, orang dewasa juga tidak terlepas.

Ini menyebabkan mereka turut berasa kesunyian.

Beberapa kajian di luar negara mendapati golongan dewasa lebih berasa sunyi apabila menjengah sosial media rakan-rakan yang giat memaparkan kehidupan peribadi seperti berkahwin, memiliki keluarga dan bercuti.

Mereka ini akhirnya diselamatkan dengan perkongsian-perkongsian mengenai pengalaman dan rawatan kesihatan mental oleh golongan muda.

Fauziah mengakui, trend tersebut membuka mata ramai pihak terhadap diagnosis kesihatan mental apabila ramai tampil secara sukarela meminta untuk diberikan slot kaunseling dan intervensi terhadap keadaan mental masing-masing.

“Ini memudahkan kerja saya kerana sesi kaunseling ini melibatkan dua pihak yang bekerjasama untuk menyelesaikan satu isu yang dihadapi.”

Sementara itu, Rostam yang juga setiausaha kehormat Persatuan Psikiatri Malaysia menegaskan agar sesiapa yang membuat hantaran dan perkongsian mengenai pengalaman menghadiri terapi dengan psikiatri suapaya mengekalkan nasihat mereka sebagai bentuk ulasan yang umum.

Ini katanya kerana, pengalaman tersebut bukanlah tiket mereka menjadi penasihat tidak berbayar pula kepada orang lain.

“Ini bahaya dan satu bentuk manipulasi.”

Beliau menyarankan supaya pengikut-pengikut di media sosial dan orang awam yang membaca dan menonton perkongsian yang dimuat naik agar bersifat terbuka.

“Pada masa yang sama perlu berhati-hati dalam respons, komen atau ketika menghubungi pemilik akaun.

“Elakkan daripada menjadi penggalak kepada penggunaan media sosial yang tidak sihat seperti ‘unsolicited fund raising’ dan sebagainya,” katanya.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.