- Iklan -
Berita

NGO gesa Putrajaya henti semua hubungan diplomatik dengan Singapura menjelang hukuman mati Nagaentran

NGO Sebaran Kasih turut menyeru tindakan turut diambil di peringkat antarabangsa.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Aktivis memegang gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam satu himpunan penyerahan memorandum di Parlimen pada 3 November lalu.
Aktivis memegang gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam satu himpunan penyerahan memorandum di Parlimen pada 3 November lalu.

NGO Sebaran Kasih hari ini menggesa kerajaan Malaysia menggunakan apa sahaja kaedah dan saluran diplomatik bagi menghentikan pelaksanaan hukuman mati Singapura ke atas Nagaenthran K Dharmalingam, memohon supaya tindakan turut dilakukan di peringkat antarabangsa menjelang hukuman gantungnya yang akan dijalankan pada 27 April depan.

Ia juga menggesa pemimpin politik dan perniagaan di negara itu untuk bersuara bagi pihak Nagaentran.

“Ada banyak pilihan (untuk dilakukan) – polis, Jabatan Peguam Negara, kementerian luar dan Jabatan Perdana Menteri boleh mengambil lebih banyak tindakan,” katanya.

“(Tindakan yang boleh diambil) lebih banyak daripada apa yang sedang dilakukan sekarang. Kerajaan Malaysia juga boleh membangkitkan isu kesihatan mental dan kecergasan Nagaenthran dalam menghadapi hukuman mati di Mahkamah Antarabangsa.”

Nagaenthran dijadualkan menjalani hukuman gantung sampai mati pada 27 April selepas gagal dalam beberapa rayuan terhadap hukuman yang diputuskan pada 2010 selepas disabitkan kesalahan menyeludup sejumlah kecil heroin ke Singapura.

Penyokong Nagaenthran berkata banduan warga Malaysia itu mempunyai skor IQ sebanyak 69 – membolehkannya diisytiharkan segai orang kurang upaya (OKU) mental – selain turut dipaksa melakukan jenayah tersebut.

Sebelum ini, Nagaenthran dijadualkan menjalani hukuman gantung pada November tahun lalu, namun keputusan itu mengundang kecaman global di mana Kesatuan Eropah (EU) dan taikun syarikat penerbangan Britain Richard Branson turut menyuarakan kritikan.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob adalah antara pemimpin kerajaan Malaysia yang secara peribadi merayu agar pihak berkuasa Singapura meringankan hukuman Nagaentran.

Rayuan pengampunan terakhir Nagaenthran ditolak pada 31 Mac lalu, beberapa hari selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan hukuman matinya.

Dalam kenyataannya hari ini, Sebaran Kasih memetik kes dua lagi banduan yang disabitkan kesalahan dadah pada 2010 kerana menyeludup heroin dari Myanmar ke Singapura.

Ia berkata Cheong Chun Yin dan Pang Siew Fum dijatuhi hukuman gantung namun kemudiannya Cheong yang didapati merupakan keldai dadah hanya menerima hukuman rotan dan diperintahkan menjalani hukuman penjara seumur hidup.

Cheong juga turut diberikan sijil bantuan substantif, sementara Pang dibenarkan untuk menjalani hukuman penjara seumur hidup.

“Mengapa (Nagaenthran) tidak boleh diberikan hukuman penjara seumur hidup seperti Pang Siew Fum?” kata NGO itu.

“Apa keadaan yang menyebabkan kesnya ini dilihat berbeza? Mengapa Nagaenthran tidak dikecualikan daripada hukuman mati?”

Sebaran Kasih turut menambah keadaan mental Nagaenthran semakin merosot akibat trauma menjadi banduan bilik akhir.

NGO itu turut berkata Singapura sudah menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak 1965 dan mempunyai tanggungjawab untuk menghormati hak asasi manusia.