Monday, July 4, 2022

Mereka bukan ancaman, kata MB Kedah selepas polis beri gambaran mengenai pelarian Rohingya lolos tahanan

Muhammad Sanusi berkata mereka yang melarikan diri dari depoh tahanan imigresen Sungai Bakap baru-baru ini tidak mempunyai hala tuju dan tidak arif mengenai keadaan di negara ini.

Other News

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menganggap tahanan etnik Rohingya yang masih bebas setelah melarikan diri dari depoh tahanan imigresen 20 April lalu tidak akan mengancam keselamatan penduduk.

Beliau berkata mereka yang melarikan diri dari depoh tahanan imigresen Sungai Bakap itu tidak mempunyai hala tuju serta tidak arif mengenai keadaan di negara ini.

“Saya difahamkan mereka sudah duduk lama di dalam depoh tahanan itu, selama dua tahun, dalam keadaan sesak. Saya tidak pasti apa isu di dalam depoh itu, tapi saya percaya mereka ini ‘tidak tahu apa-apa’.

“Bagi saya (mereka) bukan satu ancaman, yang mengancam (keselamatan) adalah penjenayah seperti pengedar dadah, itu adalah ancaman, mereka (etnik Rohingya yang masih bebas) bukan ancaman, mereka cuma nak hidup,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak melindungi mereka yang melarikan diri, mengatakan perbuatan tersebut melanggar undang-undang.

“Saya juga mengingatkan masyarakat supaya berhati-hati kerana tahanan ini mungkin berbahaya kerana mereka boleh melakukan jenayah akibat terdesak,” katanya.

Menurut Sanusi, etnik Rohingya bukanlah bangsa yang jahat sebaliknya menjadi mangsa kejahatan dan ditindas di negara asal mereka sehingga terpaksa melarikan diri untuk meneruskan kehidupan.

“Mereka ini saya kenal mereka tidak jahat, mereka bangsa yang ditindas, bangsa yang paling ditindas di dunia, sama dengan rakyat Palestin.

“Dalam keadaan masyarakat antarabangsa tidak mempedulikan penindasan di negara mereka, mereka ambil keputusan untuk lari dari negara mereka dan menumpang di sana sini,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi Rabu lepas, seramai 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya melarikan diri dari depoh tahanan imigresen Sungai Bakap dekat Bandar Baharu dan setakat ini 96 daripada mereka belum ditemukan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles