- Iklan -
Berita

Duti import gam nikotin wajar diturun atau dikecualikan, kata Khairy

Menurut menteri kesihatan, gam nikotin adalah produk baik yang dapat membantu perokok untuk berhenti merokok.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Duti import sebanyak 15% yang akan dikenakan ke atas gam nikotin wajar diturun atau dikecualikan kerana produk itu membantu perokok berhenti merokok, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ketika ini, kementerian kesihatan (KKM) menerima banyak aduan berhubung pengenalan duti import daripada syarikat farmasi yang membawa masuk produk gam nikotin dan akan membangkitkan isu berkenaan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta perbendaharaan.

“Kita lihat duti terhadap gam nikotin perlu diturun atau dikecualikan kerana ia benda baik dan bantu perokok untuk berhenti merokok,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Perkhidmatan Berhenti Merokok mQuit Masjid hari ini.

Gam nikotin adalah produk perubatan yang diperkenal untuk berhenti merokok.

Isnin lepas, sebuah portal media melaporkan JKDM akan mengenakan duti import sebanyak 15% per kilogram ke atas gam nikotin yang berkuat kuasa pada 1 Jun. 

Khairy juga berkata sebanyak 28,835 premis telah diperiksa menerusi aktiviti penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam sejak awal Januari hingga 15 Mac lepas. 

Katanya setakat 6 April lepas, KKM mengeluarkan sejumlah 13,437 notis kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 atas kesalahan merokok di kawasan larangan dan merokok di bawah umur. 

Menyentuh mQUIT Masjid, beliau berkata program yang dimulakan pada 8 April lepas itu akan diteruskan setiap Jumaat pada bulan-bulan berikutnya di 12 masjid terpilih antaranya Masjid Negara, Masjid Wilayah, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra. 

Khairy berkata setakat ini, seramai 41 orang menyertai program mQuit Masjid dan walaupun angkanya rendah, ia petanda positif kerana masih ada yang tergerak hati datang ke masjid untuk berhenti merokok.