- Iklan -
Berita

Sebesar manakah pengaruh calon PM pada PRU15?

Ketika Barisan Nasional dan Pakatan Harapan menamakan calon mereka untuk jawatan tertinggi kerajaan itu, namun Perikatan Nasional masih belum mengumumkan calonnya.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pengundi membuang undi di pusat mengundi di PRN Sarawak. Penganalisis berkata pengundi tidak akan terpengaruh dengan siapa yang akan dicalonkan oleh gabungan politik sebagai calon perdana menteri pada pilihan raya umum akan datang.
Pengundi membuang undi di pusat mengundi di PRN Sarawak. Penganalisis berkata pengundi tidak akan terpengaruh dengan siapa yang akan dicalonkan oleh gabungan politik sebagai calon perdana menteri pada pilihan raya umum akan datang.

Ketika cakap-cakap mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih terus hangat, rakyat sudah dimaklumkan mengenai calon perdana menteri dari dua blok utama politik negara, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Umno yang menunjangi BN mengumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon mereka manakala PH mengekalkan Anwar Ibrahim sebagai calon blok tersebut.

Blok lain iaitu Perikatan Nasional (PN) pula masih belum memutuskan siapa yang bakal mereka lantik sebagai perdana menteri sekiranya berjaya memenangi PRU15.

Penganalisis berkata, isu calon perdana menteri atau “poster boy” memberikan impak minima dalam menyumbang kepada nilai tambah sokongan terhadap parti-parti yang bertanding.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, pemusatan tumpuan pengundi lebih kepada tiga perkara utama iaitu kekuatan parti, populariti calon dan juga isu yang melatari pemikiran pengundi ketika itu.

“Ini kerana sistem pilihan raya kita ‘First Past The Post’ tidak seperti mana pilihan raya memilih presiden ataupun perdana menteri secara khusus,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sebelum ini MalaysiaNow melaporkan persoalan yang timbul apabila Umno mengumumkan Ismail sebagai calon perdana menteri berhubung helah kluster mahkamah untuk mempercepatkan PRU15.

Ini kerana, pemerhati politik rata-ratanya menganggap tindakan mempercepatkan PRU15 ialah bagi menyelamatkan nasib pemimpin-pemimpin Umno yang sedang didakwa di mahkamah, terutamanya presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Tambah Hisommudin, tumpuan rakyat ketika musim PRU sedang memuncak tidak menjurus ke arah calon perdana menteri.

“Semua (calon) bergelut di kawasan masing-masing untuk menang.

“Mungkin menamakan calon perdana menteri ini lebih menjurus kepada meredakan atau meraikan penyokong parti masing-masing sahaja. Jika ada pun sokongan luar, peratusannya adalah minima,” katanya.

Bagi Ahmad Atory Hussain dari Universiti Sains Malaysia, calon perdana menteri sememangnya penting kerana sebelum kekalahan BN pada 2018, presiden Umno akan mengisi jawatan itu apabila gabungan tersebut membentuk kerajaan.

Namun selepas kekalahan BN, Zahid terpalit kes-kes rasuah di mahkamah.

“Presiden tak dicalonkan sebagai perdana menteri pada PRU15 ini. Oleh kerana Ismail bukan presiden Umno, dia belum diuji.

“Mahu tidak mahu, Umno kena pertaruhkan Ismail sebagai calon perdana menteri sebab tiada yang lebih layak daripada dia,” katanya.

Katanya, Umno terpaksa memberikan sokongan kepada Ismail dengan harapan rakyat akan menyokong ahli Parlimen Bera itu.

Bagi PH, Anwar kekal menjadi calon mereka walaupun ramai penganalisis sebelum ini menyatakan presiden PKR itu sudah kehabisan aura untuk memikat pengundi.

Selepas 20 tahun cuba untuk menawan Putrajaya sejak 1999, blok pembangkang hanya mampu mencipta sejarah pada 2018 selepas meletakkan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.

Menurut Atory, sukar bagi presiden PKR itu mencapai cita-citanya mendiami Seri Perdana sejak sekian lama.

“Dia pun flip-flop, sekejap sokong Najib dan Zahid, sekejap hentam Umno.

“DAP tak sokong penuh untuk Anwar jadi perdana menteri. PKR juga berdepan dgn konflik dalaman antara penyokong Rafizi Ramli dengan Saifuddin Nasution Ismail,” katanya.

Menurut Atory, kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi PN bergantung kepada kekukuhan perpaduan dalam kalangan parti-parti komponennya.

Sekiranya Pejuang dan Warisan menyertai blok itu, katanya Muhyiddin mempunyai harapan menjadi perdana menteri kali kedua.