- Iklan -
Berita

Najib ‘arah’ saya tandatangani laporan audit 1MDB bagi 2013, kata saksi

Arahan itu dibuat ketika pertemuan KPMG dengan 1MDB yang diadakan di kediaman bekas perdana menteri pada Disember 2013.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Najib Razak telah “mengarahkan” Tetuan KPMG Malaysia untuk menandatangani laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi tahun 2013, ketika pertemuan firma itu dengan 1MDB yang diadakan di kediaman bekas perdana menteri itu di Langgak Duta pada 15 Disember 2013.

Rakan kongsi pengurusan tetuan itu Johari Idris, 56, berkata pertemuan itu diadakan bagi memaklumkan Najib mengenai isu dihadapi KPMG, yang menyebabkan laporan audit syarikat itu tidak dapat dikeluarkan, selain pihak KPMG juga ingin mendengar sendiri daripada menteri kewangan itu, sama ada beliau tahu atau tidak berkenaan pelaburan berjumlah AS$2.3 billion di Cayman Island Brazen Sky di Cayman Island.

“Sebelum perjumpaan berakhir, Najib menyatakan ingin melihat akaun 1MDB ditandatangan oleh KPMG sebelum atau pada 31 Disember 2013, namun saya tidak memberikan sebarang respons kepada beliau,” kata saksi pendakwaan ke-14 itu.

Ketika ditanya timbalan pendakwa raya T. Deepa Nair apakah reaksi saksi kepada (keinginan Najib untuk melihat akaun 1MDB ditandatangan KPMG), saksi menjawab “seolah-olah ia adalah arahan kepada saya”.

Johari berkata dalam mesyuarat berkenaan, Najib juga menyatakan bahawa beliau (Najib) sedia maklum mengenai pelaburan 1MDB di Brazen Sky, namun beliau memaklumkan bahawa 1MDB tidak boleh mendedahkan butiran terperinci mengenai pelaburan berkenaan kerana ia adalah sulit.

“Najib juga mempersoalkan mengapa KPMG masih menimbulkan syak terhadap ‘underlying assets’ tersebut. Beliau juga bertanyakan kepada saya, sama ada saya boleh menerima penjelasan tersebut dan sama ada penjelasan ini mencukupi bagi pihak KPMG untuk mengeluarkan laporan audit (yang tidak bersyarat).

“Namun saya menyatakan bahawa saya memerlukan bukti bagi melengkapkan proses audit mengikut peruntukan, seperti mana tertera dalam ‘International Standard of Auditing (ISA)’ dan ‘Financial Reporting Standard (FRS)’, di mana peraturan FRS juga termaktub di dalam Akta Syarikat 1965.

“Saya memaklumkan sekiranya pihak KPMG tidak dapat melengkapkan proses pengauditan pelaburan 1MDB, maka kami akan mengeluarkan laporan bertegur ‘Disclaimer of opinion’ terhadap akaun 1MDB,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan Najib, berhubung penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Johari berkata Najib juga menyuarakan kerisauan terhadap kelambatan penyediaan akaun dan beliau ingin mengetahui status audit 1MDB, selain menanyakannya mengapa pihak KPMG tidak boleh menerima pengesahan yang dibuat oleh pihak BSI Bank, yang merupakan “custodian” bagi pelaburan di Brazen Sky iaitu subsidiari kepada 1MDB.

“Saya telah menyatakan bahawa pihak BSI Bank tidak memberikan butiran lengkap kepada KPMG untuk menyelesaikan mengaudit ‘underlying assets’. Tanpa maklumat tersebut, pihak KPMG tidak boleh menjalankan prosedur audit untuk mengesahkan bahawa penilaian tersebut adalah betul,” katanya.

Johari juga mengesahkan bahawa Najib menyatakan beliau telah dimaklumkan bahawa Bridge Partners (syarikat dana swasta), tidak dapat menyediakan maklumat yang diperlukan kerana peruntukan undang-undang dan “trade secret” dana tersebut.

“Najib kemudiannya bertanya kepada saya, bagaimana untuk 1MDB mendapatkan maklumat tersebut. Che Lodin Wok Kamaruddin (bekas pengarah 1MDB) telah meminta KPMG untuk berlaku adil dan tidak meminta sesuatu yang tidak boleh 1MDB sediakan.

“Saya sekali lagi telah menyatakan bahawa akaun 1MDB perlu disediakan berdasarkan prinsip FRS dan Akta Syarikat.

“Sekiranya 1MDB tidak patuh kepada ‘accounting standard’ tersebut, ia bermakna bahawa 1MDB tidak patuh kepada undang-undang. Memandangkan maklumat dana tersebut adalah mustahak bagi pengauditan 1MDB, tanpa maklumat tersebut akan menyebabkan skop yang terhad bagi pihak KPMG, ia akan menyebabkan KPMG mengeluarkan laporan audit bersyarat dalam bentuk ‘Disclaimer of Opinion’,” katanya.

Beliau berkata Najib kemudiannya meminta pengurusan 1MDB untuk berurus dengan pihak Bridge Partners untuk memberikan maklumat diperlukan oleh KPMG, bagi membantu di dalam proses pengauditan.

Johari berkata Najib juga meminta pihak KPMG untuk pergi ke Hong Kong bagi melengkapkan proses audit, dan mahu audit dibuat dengan profesional dan konsisten dengan ‘good governance’.

Menurut saksi di dalam perjumpaan tersebut juga, Najib memberitahu bahawa beberapa orang telah maklum mengenai pertemuan yang dibuat, dan meminta Tetuan KPMG untuk bertindak dengan penuh profesional dan mengekalkan kerahsiaan klien.

“Saya menyatakan bahawa KPMG telah dan akan menjalankan tugas dengan profesional. Sebarang urusan atau perbincangan mengenai 1MDB, hanya diketahui ‘engagement team’ yang ketika itu diketuai wakil KPMG iaitu Ahmad Nasri Abdul Wahab dan ‘chain of command’ sahaja, dan tiada pihak lain yang akan mempunyai pengetahuan mengenai 1MDB,” katanya.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 9 Mei.