- Iklan -
Berita

Kumpulan hak asasi selar kerajaan selepas pencari suaka ditahan, terkorban ketika larikan diri

Lawyers for Liberty berkata kerajaan bertanggungjawab terhadap kejadian enam pelarian Rohingya termasuk dua kanak-kanak yang terbunuh ketika melarikan diri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Lori jabatan imigresen mengangkut tahanan depoh sementara di Sungai Bakap selepas mereka ditahan semula ketika melarikan diri. Gambar: Bernama
Lori jabatan imigresen mengangkut tahanan depoh sementara di Sungai Bakap selepas mereka ditahan semula ketika melarikan diri. Gambar: Bernama

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang menahan pelarian etnik Rohingya di depoh imigresen sedangkan mereka sepatutnya dianggap sebagai pelarian dan pencari suaka di dalam negara, mengatakan ia mencerminkan reputasi buruk Malaysia sebagai penyandang kerusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ia timbul susulan ratusan pelarian Rohingya melarikan diri dari depoh tahanan imigresen di Pulau Pinang awal pagi semalam, di mana enam daripada mereka termasuk dua kanak-kanak terkorban dalam kemalangan ketika cuba menyeberangi lebuh raya.

LFL berkata “tiada alasan yang jelas” mengapa begitu ramai dimasukkan ke dalam depoh tahanan sementara sedangkan mereka tidak boleh dihantar pulang ke negara asal mereka mengikut prinsip undang-undang antarabangsa yang tidak membenarkan pencari suaka dihantar pulang:

“Isu yang jelas dilihat di sini, dan perlu ditangani adalah pihak berkuasa menahan ratusan etnik Rohingya, yang disifatkan sebagai pelarian dan pencari suaka, di depoh tahanan sementara imigresen.

“Prinsip undang-undang (non refoulement) yang melarang mana-mana negara memulangkan individu ke negara di mana mereka berisiko menghadapi penyeksaan, layanan atau hukuman kejam atau tidak berperikemanusiaan atau merendahkan maruah, menyebabkan Rohingya mustahil boleh dihantar pulang ke negara mereka, atau kerajaan mahu melanggar undang-undang antarabangsa,” kata Ketua Penyelaras LFL Zaid Malek dalam satu kenyataan.

528 pelarian Rohingya yang melarikan diri dari depoh tahanan sementara di Sungai Bakap mencetuskan usaha pencarian secara besar-besaran melibatkan polis dan badan penguatkuasaan lain.

Enam daripada mereka terbunuh ketika cuba menyeberang lebuh raya selepas melarikan diri: dua lelaki, dua wanita, dan dua kanak-kanak.

Polis di Pulau Pinang dan Kedah turut menjalankan sekatan jalan raya sebagai sebahagian daripada operasi mencari mereka yang lolos dari tahanan di bawah Akta Imigresen sejak dua tahun lalu.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin turut mengarahkan polis dan jabatan imigresen menjalankan “siasatan menyeluruh” berhubung kejadian tersebut, mengatakan Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan kehadiran mereka di negara ini adalah atas dasar kemanusiaan.

“Bagi memelihara kedaulatan dan kepentingan rakyat Malaysia, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang negara,” katanya.

LFL turut mengingatkan Putrajaya bahawa kerajaan sepatutnya mematuhi norma dan piawaian antarabangsa, memandangkan Malaysia baru-baru ini dilantik sebagai penyandang kerusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Tindakan menahan pelarian dan pencari suaka secara pukal sehingga depoh tahanan sementara perlu diwujudkan adalah tindakan yang sangat menjijikkan di mana ia menghilangkan kredibiliti kerajaan dalam majlis (PBB) itu, lebih-lebih lagi apabila kanak-kanak juga dilaporkan turut ditahan,” kata Zaid.

“Tanggungjawab terhadap kejadian yang menyayat hati ini terletak di bahu kerajaan, yang dengan sengaja mengabaikan nasihat NGO dan pihak berkepentingan sekali gus meneruskan tindakan memenjarakan pelarian dan pencari suaka ke dalam pusat tahanan yang sesak.

“Darah etnik Rohingya yang maut semasa dalam pelarian, termasuk dua kanak-kanak, berada di tangan kerajaan.”