- Iklan -
Berita

TMJ cadang tambah baik akta, audit pusat jagaan elak kes dera kanak-kanak

Penambahbaikan tersebut turut merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pegawai penguatkuasa dari jabatan kebajikan menutup Rumah Bonda di Kuala Lumpur pada Julai 2021 selepas mendapat laporan seorang kanak-kanak OKU didera di rumah itu. Gambar: Bernama
Pegawai penguatkuasa dari jabatan kebajikan menutup Rumah Bonda di Kuala Lumpur pada Julai 2021 selepas mendapat laporan seorang kanak-kanak OKU didera di rumah itu. Gambar: Bernama

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan mengemukakan tiga cadangan kepada kerajaan bagi memastikan kes penderaan seperti kes Bella tidak lagi berulang.

Baginda menerusi pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun di Royal Johor Polo Club bertitah mencadangkan kerajaan agar menambah baik dengan segera undang-undang seperti Akta Kanak-Kanak 2001.

“Ia (penambahbaikan) harus merangkumi aspek pendaftaran pusat jagaan kanak-kanak, akreditasi, penilaian, pembiayaan dan pemantauan.

“Ini untuk memastikan semua pengendali beroperasi secara sah dengan cara pelaksanaan khidmat awam,” titah Tunku Ismail dalam hantaran di laman Facebook semalam.

Tunku Ismail bertitah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga perlu melakukan penguatkuasaan dengan mengaudit semua pusat jagaan kanak-kanak sedia ada yang diluluskan, serta menutup segera pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar dengan JKM atau beroperasi secara haram, iaitu pelaksanaannya bermula di Johor.

Tunku Ismail bertitah tindakan undang-undang juga harus diambil terhadap pengusaha atau pemilik mana-mana pertubuhan yang dijalankan secara haram.

“Kajian segera juga perlu dibuat mengenai syarat pusat jagaan kanak-kanak bermula di Johor ditauliahkan bersama-sama dengan garis panduan daripada Unicef dan institusi-institusi bebas lain. 

“Hasil kajian tersebut akan didedahkan kepada umum. Saya akan memastikan cadangan penambahbaikan ini diambil serius dan dilaksana segera,” katanya.

Terdahulu pertemuan itu turut disertai Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam, Wakil Unicef ke Malaysia Amanda Bissex dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin Nisa Ismail.

Kes Bella meraih perhatian masyarakat sejak tular di media sosial tahun lepas, selepas seorang wanita mendakwa remaja perempuan itu disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan pertubuhan bukan kerajaan.

Susulan itu, pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan serta mendera remaja berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.