- Iklan -
Berita

Perhimpunan khas 15 Mei untuk tangguh pemilihan Umno 6 bulan selepas PRU15

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata usul tersebut perlu diabsahkan dalam perhimpunan khas tersebut mengikut fasal 30 perlembagaan parti itu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bendera Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra sewaktu Perhimpunan Agung Umno 2020.
Bendera Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra sewaktu Perhimpunan Agung Umno 2020.

Perhimpunan Agung Khas Umno bakal diadakan pada pada 15 Mei depan, bagi mengabsahkan usul pindaan perlembagaan supaya pemilihan parti itu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Dalam sebuah kenyataan, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata usul yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Umno 2021 Mac lalu perlu diabsahkan dalam perhimpunan khas itu mengikut fasal 30 perlembagaan parti itu.

“Usul berkaitan adalah menggesa pindaan perlembagaan parti hubung fasal pemilihan dilakukan dalam waktu yang sesuai dengan memaktubkan pemilihan parti hendaklah diadakan dalam tempoh enam bulan selepas setiap kali PRU dilaksanakan.

“Ini bagi memastikan seluruh kekuatan parti dapat digemblengkan bagi menghadapi PRU tanpa sebarang ancaman dan risiko perpecahan,” katanya.

Kenyataan tersebut turut menyatakan perhimpunan khas itu akan diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

“Majlis Kerja Tertinggi Umno yang bermesyuarat pada 14 April 2022 bersetuju bahawa Perhimpunan Agung Khas perlu diadakan.

“Semua perwakilan Umno diwajibkan untuk hadir bagi menunaikan tanggungjawab menjayakan Perhimpunan Agung Khas tersebut,” katanya sambil menambah perwakilan yang dimaksudkan adalah sama seperti yang hadir pada Perhimpunan Agung Umno Mac lalu.