Monday, July 4, 2022

Pelabur gaharu kerugian RM22.6 juta gesa pihak berkuasa bertindak

Mereka berkata tiada perkembangan terbaru mengenai kes itu walaupun mahkamah telah mengeluarkan perintah supaya siasatan polis dijalankan.

Other News

Individu yang terlibat dalam skim pelaburan tanaman pokok gaharu di Thailand yang dijalankan Asia Plantation Capital (APC) menggesa supaya pihak polis melakukan siasatan terhadap syarikat itu.

Mereka meluahkan rasa kecewa apabila pihak berkuasa tidak menunjukkan komitmen untuk menyiasat kes tersebut meskipun pelabur yang diwakili peguam berjaya mendapatkan perintah mahkamah supaya polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan seramai 180 inidivdu kerugian RM22.6 juta apabila projek yang dilaksanakan APC dipercayai sejak 2011, tidak menjadi.

Mereka mendakwa, syarikat itu melanggar pelbagai perjanjian urus niaga dan memberikan pelbagai alasan apabila gagal membayar semula modal dan keuntungan kepada pelabur selepas mencapai tempoh kematangan.

Susulan itu, pelabur-pelabur tersebut yang diwakili barisan peguam memfailkan permohonan kepada Mahkamah Majistret Jenayah Kuala Lumpur untuk mengarahkan polis menyiasat kes itu selepas ia dikategorikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut).

Doktor gigi yang juga seorang pelabur APC, Dr P Mahendran, memaklumkan sehingga ke hari ini, tiada perkembangan dikongsikan meskipun pihak peguam yang mewakili kumpulan pelabur tersebut sudah membuat permohonan untuk berjumpa dan berbincang dengan pihak polis.

“Sejak kami memfailkan permohonan di mahkamah, masih tiada apa-apa perkembangan dari polis.

“Sekiranya pihak polis bersetuju untuk berjumpa dengan pihak kami, saya bersama peguam akan berjumpa mereka, tetapi setakat ini tiada apa-apa,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut ahli jawatankuasa pelabur APC, Arichandran Kandih, dianggarkan seramai 30 pelabur sudah membuat laporan polis di balai polis berbeza sekitar Lembah Klang sejak beberapa tahun lalu.

“Memandangkan kami sudah bawa kes ini ke mahkamah, maka kami serahkan urusan ini kepada peguam untuk berurusan dengan Bukit Aman atau pihak berkuasa lain,” katanya.

Sementara itu, usaha MalaysiaNow untuk mendapatkan maklum balas polis dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung kes ini gagal apabila emel yang dihantar sejak Mac tidak dibalas.

Tinjauan yang dilakukan MalaysiaNow ke pejabat Asia Plantation Capital Berhad (APCB) – kini dikenali sebagai Agarwood Originals Malaysia Berhad – di G Tower di ibu negara turut mendapati ia sudah tutup.

Penjaga kaunter yang bertugas di bangunan itu memberitahu MalaysiaNow pejabat yang terletak di tingkat 21 itu sudah lama ditutup.

Tinjauan seterusnya ke Bangsar South – alamat yang didaftarkan di dokumen SSM susulan pertukaran nama kepada Agarwood Originals – turut mendapati lokasi itu hanyalah pejabat syarikat setiausaha (secretary company) yang dikenali sebagai Tricor Services (Malaysia) Sdn Bhd.

MalaysiaNow turut dimaklumkan bahawa Tricor bertindak sebagai wakil APCB dan perlu melalui mereka sekiranya ingin berurusan dengan APCB.

Hasil penemuan ini disifatkan sebagai perkembangan mengejutkan dalam kalangan pelabur apabila mereka mendakwa tidak pernah mendengar kewujudan syarikat tersebut dan hanya berurusan secara langsung dengan APCB berkaitan hal ehwal pelaburan sebelum ini.

Pelabur dari Pulau Pinang, Khoo Hock Kheng, 48, mendedahkan dia juga tidak pernah dimaklumkan bahawa APCB menukar nama kepada Agarwood Originals pada 23 Disember 2021, dan hanya ketahui perkara itu ketika dihubungi MalaysiaNow.

“Ini adalah maklumat baru, saya tidak pernah tahu APCB ada syarikat setiausaha.

“Saya tidak pernah dengar atau berurusan dengan Tricor Services,” katanya.

Malah, perkara ini turut disahkan beberapa pelabur APCB yang dihubungi MalaysiaNow termasuk Mahendran dan mereka turut menyatakan nama syarikat itu tidak pernah disebut dalam kontrak urus niaga yang ditandatangani pelabur.

Dalam pada itu, MalaysiaNow turut difahamkan bahawa satu-satunya cara untuk berhubung dengan APCB adalah menerusi emel, malah, laman sesawang rasmi syarikat itu juga didapati dipadamkan setelah artikel mengenai syarikat itu disiarkan pada bulan lalu.

MalaysiaNow jugaberhubung dengan seorang individu bernama Sonia Kalyan yang didakwa sebagai pengarah jualan serantau APCB, berdasarkan kad perniagaannya yang dikongsikan kepada seorang pelabur di Johor.

Bagaimanapun, ketika dihubungi menerusi panggilan telefon, individu itu menafikan pembabitan dengan APCB dan menyatakan dia tidak ada kaitan dengan syarikat tersebut.

Penafian ini amat mencurigakan apabila pelabur yang enggan namanya didedahkan itu memaklumkan dia masih berhubung dengan wanita itu bagi urusan berkaitan pelaburan tanaman pokok gaharu di Johor yang dijalankan APCB.

Bagaimanapun, usaha MalaysiaNow menghubungi individu itu semula tidak berjaya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles