- Iklan -
Berita

Wanita kes langgar remaja berbasikal lajak dapat tangguh hukuman penjara

Sam Ke Ting dibenarkan merayu terhadap hukuman enam tahun penjara dan denda RM6,000 yang disampaikan Mahkamah Tinggi minggu lalu.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Sam Ke Ting menerima hukuman enam tahun penjara dan denda RM6,000 minggu lalu kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja pada 2017. Gambar: Bernama
Sam Ke Ting menerima hukuman enam tahun penjara dan denda RM6,000 minggu lalu kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja pada 2017. Gambar: Bernama

Sam Ke Ting yang diperintahkan menjalani hukuman enam tahun penjara dan denda RM6,000 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan orang penunggang basikal lajak pada 2017 hari ini dibenarkan untuk menangguh hukuman sementara menunggu keputusan di Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan permohonan wanita 27 tahun itu dalam prosiding di mahkamah terbuka pagi ini.

Mahkamah akan menetapkan tarikh untuk mendengar merit rayuannya selepas ini.

Sam, yang berusia 22 tahun ketika kejadian didakwa memandu kereta di Jalan Lingkaran Dalam secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal pada pukul 3.20 pagi pada 18 Februari 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda RM20,000 jika disabitkan kesalahan.

Pada 28 Oktober 2019, dia dibebaskan daripada pertuduhan tersebut oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Bagaimanapun, pada 18 Februari 2021, dia diperintahkan membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada 10 Oktober 2021, majistret Siti Hajar Ali memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Sam.

Bagaimanapun, pada 13 April lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru berkata pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan yang telah membuktikan dengan jelas intipati kesalahan sekali gus mengenepikan keputusan 10 Oktober yang membebaskannya dari sebarang pertuduhan.

Panel tiga hakim itu membenarkan permohonan Sam yang hadir ke mahkamah dengan tangan bergari, selepas Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup tidak membantah permohonan berkenaan.

Manoj berkata pihaknya tidak membantah permohonan kerana kes itu berkepentingan awam selain mengakui pemohon (Sam) tidak akan melarikan diri.

Ravinthran kemudiannya membenarkan permohonan kebenaran untuk merayu, dan rayuan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

“Kami telah berbincang dan pemohon (Sam) dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin,” kata Ravinthran dalam keputusan sebulat suara itu.

Mahkamah juga membenarkan permohonan peguam Muhammad Faizal Mokhtar yang mewakili Sam untuk meminda notis rayuan dengan memasukkan persoalan undang-undang dalam notis berkenaan.

Faizal berkata permohonan itu dibuat berikutan beliau mengalami kesukaran untuk mendapatkan nota prosiding Mahkamah Tinggi berhubung kes itu kerana kesuntukan masa.

“Permohonan untuk kebenaran merayu difailkan pada Khamis (14 April) bersama dua afidavit sokongan. Disebabkan Johor cuti pada Jumaat, saya mengalami kesukaran berhubung dengan mahkamah. Oleh sebab itu, saya tidak sempat untuk mendapatkan nota prosiding daripada mahkamah,” katanya.

Menurut peguam itu terdapat enam persoalan undang-undang yang perlu dijawab termasuk sama ada keterangan tidak bersumpah oleh Sam boleh diterima sebagai penjelasan kepada pembelaannya dan sama ada wujud beban atas wanita itu bagi membuktikan tanggungjawab untuk memandu dengan lebih berhati-hati berbanding kumpulan basikal yang menghalang laluan utama.

Faizal dalam hujahan penangguhan pelaksanaan hukuman dan rayuan berhubung jaminan berkata berdasarkan rekod mahkamah, anak guamnya hadir pada setiap kali perbicaraan dan tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

“Pemohon (Sam) yang bekerja sebagai kerani sebelum ini diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin oleh mahkamah.” katanya.

Di awal prosiding, panel tiga hakim itu membenarkan permohonan Majlis Peguam yang diwakili peguam Ravinder Singh Dhaliwal untuk menjadi amicus curiae (sahabat mahkamah), namun menolak dua lagi permohonan sama oleh MCA dan Pertubuhan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (PARFUM).

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Faizal berkata anak guamnya berpesan supaya orang ramai tidak berdebat berhubung kes berkenaan dengan menimbulkan isu perkauman.

“Anak guam saya seorang yang patuh kepada kedaulatan undang-undang dan akur dengan keputusan mahkamah,” kata peguam itu.

Menurut Faizal, anak guamnya dijaga dengan baik sepanjang berada di dalam penjara selain turut berterima kasih kepada keluarga, rakan dan persatuan yang menyokong dan prihatin terhadapnya.