- Iklan -
Berita

Peguam Siti Bainun dikecam di media sosial, sokongan terhadap #JusticeforBella meningkat

Hafidzah Hassan menerima kecaman orang ramai dan peguam kerana membuat ulasan peribadi mengenai kes itu ketika perbicaraan sedang berjalan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang penyokong dari Down Syndrome Association of Malaysia memegang plakad JusticeforBella di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Seorang penyokong dari Down Syndrome Association of Malaysia memegang plakad JusticeforBella di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kes perbicaraan penganiayaan dan pengabaian remaja sindrom down dikenali sebagai Bella mendapat perhatian lebih ramai pihak termasuk kerabat diraja dan selebriti ternama selepas tular beberapa klip video berdurasi pendek yang menunjukkan peguam tertuduh memberi pandangannya berhubung perbicaraan yang sedang berjalan.

Salah seorang peguam kepada pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, Hafidzah Hassan menerima kecaman ramai pihak selepas tampil menyatakan masih terlalu awal untuk masyarakat membuat sebarang andaian dan spekulasi terhadap anak guamnya memandangkan tidak semua rakyat Malaysia menyaksikan sendiri proses perbicaraan yang berlangsung di mahkamah.

Kenyataan itu menerima kritikan bertali arus mengatakan beliau sebagai peguam yang tidak beretika selain risiko mendedahkan peguam itu kepada penghinaan terhadap mahkamah kerana membuat ulasan peribadi berkaitan kes yang diwakilinya.

Malah, peguam tersebut juga didapati memaparkan sebahagian pemeriksaan balas antara peguam dan saksi pendakwaan kelima.

Bagaimanapun, semakan MalaysiaNow mendapati ianya sudah dipadam akan tetapi hantaran asal itu masih boleh dilihat menerusi sejarah suntingan di media sosial.

Perkembangan ini menyaksikan senario kerjaya dan kredibiliti profesion peguam yang disanjung tinggi dalam kalangan masyarakat turut dipersoalkan ramai pihak.

Sebelum itu, tular sekeping foto menunjukkan barisan peguam yang mewakili Siti Bainun di luar bilik perbicaraan sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati masyarakat.

Ini susulan reaksi gembira dalam kalangan peguam-peguam tersebut disifatkan pengguna media sosial sebagai tidak berperikemanusiaan dan tidak menghormati nasib Bella yang sedang menderita kesakitan akibat penderaan oleh tertuduh.

Rata-rata pengguna maya mempersoal mengapa 10 orang peguam diperlukan oleh Siti Bainun di mahkamah untuk berdepan pendakwaan daripada seorang remaja kurang upaya seperti Bella.

Malah, ramai juga yang mempertikaikan kemampuan Siti Bainun membayar kos guaman terhadap semua peguamnya sedangkan dirinya tidak mempunyai kerja tetap.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut dijawab oleh Hadfizah mengatakan dirinya mewakili Siti Bainun secara “pro-bono” atau tidak menerima bayaran, satu kenyataan yang menimbulkan lebih banyak kritikan dan perdebatan umum.

“Lebih baik wakili adik Bella yang tidak ada ibu ayah berbanding orang yang disebut saksi suka mendera dan panas baran,” tulis pengguna dengan nama Bintu Salmi di ruangan komen Facebook Hadfizah Hassan.

Ada juga yang menyelar tindakan Hafidzah yang mewakili tertuduh supaya tidak mencampuri perbincangan umum dan bertindak profesional seperti peguam-peguam lain yang pernah mengendalikan kes-kes perbicaraan ternama dan berprofil tinggi.

Namun, bagi Hafidzah, menyatakan tindakannya mewakili tertuduh adalah wajar kerana dia lebih mempercayai cerita, bukti, dokumen dan kronologi yang disampaikan oleh tertuduh.

Kenyataan itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengamal undang-undang yang merasakan peguam tidak boleh terlalu mengambil pusing kata-kata masyarakat terhadap kes yang sedang dibicarakan.

Beberapa individu yang memperkenalkan diri sebagai peguam mula membuat hantaran pandangan masing-masing terhadap kenyataan Hafidzah yang dianggap menyinggung perasaan mereka sebagai peguam.

Antara yang ditegur adalah, peguam tidak boleh memakai pakaian rasmi kerjaya itu, iaitu jubah hitam semasa membuat hantaran di media sosial seperti TikTok.

Selain itu, ramai juga yang menyuarakan rasa tidak senang apabila melihat masyarakat memperlekeh kerjaya tersebut sejak Hafidzah lantang menyuarakan pandangan peribadinya di media sosial.

Sementara itu, satu gerakan dikenali sebagai #justiceforBella mula memenuhi media sosial dalam tempoh yang amat singkat, sehingga meraih perhatian ramai pihak termasuk Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menawarkan khidmat peguamnya secara percuma sebagai pemerhati bagi perbicaraan kes penderaan remaja tersebut.

Tunku Ismail turut memaklumkan, pihaknya akan segera menghubungi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun untuk bertanya mengenai tawaran tersebut.

Nasib malang yang menimpa Bella turut diberi perhatian dan simpati oleh isteri TMJ, Che Puan Besar Khaleeda Bustamam yang menyuarakan kekesalan dan kekecewaannya terhadap nasib remaja itu.

“Saya kecewa dan letih melihat si pengecut yang berfikir mereka boleh buat apa sahaja terhadap kanak-kanak tidak berupaya dan fikir mereka akan terlepas.

“Kamu boleh berselindung di sebalik barisan peguam kamu tetapi akhirnya karma akan tiba pada waktunya di dunia mahupun akhirat,” katanya di Twitter.

Siti Bainun, 30, didakwa atas dua pertuduhan mengabaikan serta mendera remaja berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.

Beliau bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Menurut keterangan saksi di mahkamah, antara penderaan yang dihadapi Bella termasuk dipaksa makan najis sendiri, dibogelkan, diikat dan dibaringkan sebelum dicurahkan air panas dari mesin penapis air pada bahagian tertentu di badan mangsa.

Perbicaraan kes ini bersambung pada Rabu.