- Iklan -
Berita

Mavcom sedia tolak ansur, lebih 30% harga tiket penerbangan diturunkan

Mavcom akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi melihat secara terperinci kadar perbandingan penurunan harga tiket penerbangan dalam masa terdekat.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penumpang memeriksa butiran penerbangan di terminal KLIA2, Sepang.
Seorang penumpang memeriksa butiran penerbangan di terminal KLIA2, Sepang.

Lebih 30% harga tiket penerbangan telah diturunkan susulan kesediaan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) untuk bertolak ansur menurunkan kadar harganya pada musim perayaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Isham Ishak bagaimanapun berkata suruhanjaya itu akan mengeluarkan kenyataan rasmi bagi melihat secara terperinci kadar perbandingan penurunan harga tiket penerbangan dalam masa terdekat.

“Ada yang mengatakan ia (tiket penerbangan) telah naik 70%, tetapi kita telah berjaya kurangkan banyak daripada kadar berkenaan, pagi ini pun apabila kita lihat, sudah ada penurunan.

“Ini kerana kita berjaya meningkatkan kekerapan penerbangan dengan cara redeploy (menyusun semula pergerakan) kapal-kapal terbang supaya tumpuan diberikan kepada sektor (perayaan) ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penghantaran kakitangan Express Rail Link (ERL) ke “Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Line” bagi menyokong operasi musim Haji 2022, di KL Sentral, hari ini.

Semalam Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan pengendali syarikat penerbangan agar tidak mengambil keuntungan secara berlebihan dengan menaikkan harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak terlalu tinggi pada musim perayaan ini.

Isu harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak menjadi tajuk perbualan hangat sejak kebelakangan ini apabila harga yang dipaparkan pada laman web syarikat penerbangan dikatakan meningkat sehingga RM2,000 bagi penerbangan dua hala ke Sabah atau Sarawak, berbanding kebiasaan sekitar RM300 bagi perjalanan sama.

Sementara itu merujuk kepada cadangan berhubung penubuhan Pusat Kecemerlangan Rel Kebangsaan (NRCOE), sebagai pusat kecemerlangan nasional bagi industri kereta api, Isham berkata ia dijangka diluluskan oleh kabinet dalam masa terdekat.

Beliau berkata kandungan kepakaran tempatan dalam pengangkutan rel negara ini masih kurang, iaitu 15% sahaja dan dengan kewujudan NRCOE diharapkan dapat membina industri kereta api mengikut standard Malaysia.

“Dengan adanya standard berkenaan, kita berupaya mengembangkan pengetahuan dan melatih lulusan universiti untuk bekerja dalam industri ini serta juga mengeksport kompenan atau barang kereta api sendiri,” katanya.