- Iklan -
Berita

Calonkan Ismail yang ‘bukan presiden Umno’ satu perkembangan baik, kata GPS

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu berkata keputusan Umno itu menunjukkan ‘ada perkembangan baru dan sihat' dalam parti itu.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melambai tangan kepada perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2021 di Kuala Lumpur.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melambai tangan kepada perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2021 di Kuala Lumpur.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengalu-alukan keputusan Umno mencalonkan naib presidennya, Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri jika Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang, menyifatkan langkah itu memecahkan tradisi pemilihan calon daripada ketua parti.

Bercakap kepada MalaysiaNow, parti utama GPS, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyifatkan keputusan Umno tersebut adalah satu langkah yang betul.

“Ia menunjukkan ada perkembangan baru dan sihat dalam parti,” kata Naib Presiden PBB Abdul Karim Rahman Hamzah.

Karim turut berkata langkah itu dapat meredakan spekulasi mengenai calon-calon lain, termasuk Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang sebelum ini menyuarakan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen.

“Keputusan Umno untuk mengekalkan Ismail sebagai perdana menteri jika menang PRU akan datang menunjukkan parti itu sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya,” katanya lagi.

“Harapan saya ia akan bawa kestabilan kepada situasi (politik) ketika ini.”

Minggu lalu, Majlis Kerja Tertinggi Umno bersetuju untuk mencalonkan Ismail sebagai perdana menteri parti itu, satu langkah yang dianggap penganalisis boleh menjadi satu helah kluster mahkamah bagi mendapatkan persetujuan Ismail untuk Parlimen dibubarkan lebih awal.

Bagaimanapun, Karim berkata GPS tidak akan memihak kepada mana-mana kem dalam konflik dalaman Umno.

“Apa yang berlaku kepada pemimpin yang terlibat dalam kes mahkamah boleh menyebabkan ketidakstabilan (dalam parti itu),” katanya.

“Sebelum ini, mereka yang ada sokongan majoriti di Parlimen secara automatik akan jadi presiden dan perdana menteri.

“Tetapi ini berubah selepas Perikatan Nasional (PN) mengambil alih. Perdana menteri adalah daripada parti dan tidak memegang jawatan presiden.”

Dalam pada itu, Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi berkata sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan dan mengheret rakyat ke dalam krisis politik, ketika negara sedang menjalani fasa pemulihan akibat pandemik Covid-19 hanya akan mencetuskan kebimbangan orang ramai.

“GPS tidak mempunyai pandangan yang jelas berhubung pendirian Umno yang tidak mahu melanjutkan memorandum persefahaman antara Pakatan Harapan dan kerajaan persekutuan,” katanya.

“Namun kami sentiasa mahu kerajaan persekutuan yang stabil, dan dapat memberi tumpuan kepada pentadbiran negara, terutamanya dalam memastikan pemulihan ekonomi.”

Dalam pada itu, Karim turut menggesa ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak dimasukkan ke dalam Kabinet, tanpa mengambil kira siapa yang memenangi pilihan raya umum.

Beliau turut mencadangkan supaya jawatan timbalan perdana menteri diberikan kepada ahli Parlimen sama ada dari Sabah atau Sarawak.

“Jika Sarawak tidak diberi peranan penting dalam Kabinet, ia tidak akan membantu,” katanya.

“Jika tak diberi jawatan perdana menteri, mungkin boleh wujudkan dua jawatan timbalan perdana menteri, atau mereka boleh pegang jawatan itu secara bergilir-gilir.”