- Iklan -
Berita

5 terkorban dalam serangan Rusia di timur laut Ukraine

13 lagi turut dilaporkan cedera dalam serangan di Kharkhiv itu.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota bomba cuba memadamkan kebakaran di  Kharkiv selepas serangan Rusia pada 17 April 2022. Gambar:AFP
Anggota bomba cuba memadamkan kebakaran di Kharkiv selepas serangan Rusia pada 17 April 2022. Gambar:AFP

Sekurang-kurangnya lima maut manakala 13 lagi cedera dalam beberapa serangan yang dilancarkan tentera Rusia di Kharkiv, bandar kedua terbesar di timur laut Ukraine.

Ketua Jabatan Kesihatan Kharkiv, Maksym Khaustov, mengesahkan kematian tersebut adalah akibat beberapa serangan yang menyebabkan kebakaran di beberapa kawasan di bandar itu.

Bumbung bangunan juga rosak teruk dalam serangan ke atas kawasan perumahan di tengah bandar itu.

Kereta bomba bergegas ke semua kawasan bagi memadam kebakaran di tingkat atas bangunan yang terkena serangan peluru berpandu tentera Rusia.

Serangan itu mencetuskan rasa cemas di jalan raya, dengan penduduk melarikan diri manakala kereta bergegas meninggalkan tempat kejadian.

Wartawan AFP melaporkan lima kebakaran manakala seorang penduduk setempat berkata dia terdengar antara enam hingga lapan serangan peluru berpandu.

Sejak berundur dari kawasan utara untuk menawan Kyiv, Kremlin memperhebatkan serangan terhadap bahagian timur Ukraine, termasuk Kharkiv yang terletak hanya 21 kilometer dari sempadan Rusia.

Jumaat lalu, serangan terhadap kawasan kediaman di bandar itu dilaporkan meragut 10 nyawa manakala dua orang lagi maut akibat serangan tentera Rusia Sabtu lalu.