- Iklan -
Berita

Warga emas tinggal sendirian dihantui gangguan monyet dan babi hutan

Sepinah Wahab berharap dapat bertemu semua cucunya pada Syawal kali ini.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Sepinah Wahab, 73 duduk dihadapan rumahnya di Kampung Pasir Pandak Lekir, Setiawan. Penyakit kronik yang dialaminya tidak memungkinkan warga emas ini bergerak aktif.
Sepinah Wahab, 73 duduk dihadapan rumahnya di Kampung Pasir Pandak Lekir, Setiawan. Penyakit kronik yang dialaminya tidak memungkinkan warga emas ini bergerak aktif.

Sepinah Wahab tinggal di sebuah rumah kecil Kampung Pasir Pandak di Sitiawan, Perak sejak 20 tahun lalu

Meniti usia senja, tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan Sepinah.

Warga emas berusia 73 tahun itu akan bangun pagi untuk solat Subuh sebelum mengemas rumah sedikit sebanyak.

Jika ada masa lapang, Sepinah akan menonton televisyen yang terletak di ruang tamu.

Di bahagian belakang terdapat meja makan yang kecil.

Dapurnya bersambung dengan tandas.

Di tepi meja makan, terdapat pembahagi yang menjadi bilik tidur warga emas tersebut.

Sepinah menunaikan solat di rumahnya, di Kampung Pasir Pandak Lekir, Setiawan.

Sepinah atau lebih mesra dipanggil Yong menetap di sana bersama suami dan anak tunggalnya.

Setelah pemergian kedua-dua insan tersayang, Yong tinggal bersendirian di rumah tersebut yang dibina atas ihsan kerajaan negeri.

Anaknya dikebumikan di tanah kubur seberang jalan dari rumah Sepinah.

Namun usia senjanya terganggu sejak beberapa tahun lalu.

“Monyet di kawasan belukar belakang sering masuk ke rumah dari atap. Haiwan itu suka kopak atap makcik untuk masuk ke dalam.

“Habis barang kita diselongkarnya, kadang-kadang makanan kita pun diambil,” katanya kepada MalaysiaNow dengan menggunakan loghat Perak.

Babi hutan turut menyerang

Tinjauan MalaysiaNow mendapati keadaan rumah itu tidak teratur dengan bekas-bekas makanan bersepah dan tidak tersusun.

Gangguan monyet yang kerap pada waktu malam juga sering mengejutkan Sepinah.

“Kalau boleh nak mintalah orang pasangkan siling di atas, supaya monyet kalau masuk ke dalam atap, haiwan itu tak boleh turun ke bawah,” katanya.

Bukan sahaja monyet yang sering menyerang, malah pada waktu malam dia sering terlihat babi hutan yang menceroboh kawasan rumahnya.

Penduduk kampung memberikan sumbangan berbuka puasa kepada Sepinah di rumahnya.

Tentunya dia yang bersendirian itu takutkan keselamatan diri.

Bumbung rumahnya juga pernah dibaiki beberapa bulan lalu namun kadang masih bocor jika hujan lebat.

Selain itu, katanya keadaan rumah agak panas sejak akhir-akhir ini kerana bumbungnya yang terlalu rendah.

Yong yang sudah kehilangan kudrat tubuh badan akibat usia senja kini mengharapkan ihsan cucu dan keluarga terdekat untuk membeli makanan selain melihatkan keadaannya.

“Kadang-kadang mereka beli makanan untuk beberapa hari.

“Saya makan sedikit dan simpan yang selebihnya. Hendak masak sudah tidak larat,” katanya.

Berbuka puasa atas ihsan cucu

Yong berkata, dia sudah tidak memasak kerana pernah terjatuh semasa berada di dapur kira-kira tiga tahun lalu.

Rumahnya pada kebanyakan masa sepi kerana hanya dihuni olehnya seorang diri, namun ada kalanya dia dilawat empat cucunya secara bergilir.

“Mereka ada ajak duduk dengan mereka tapi saya tak mahu.

“Mereka semua sudah berkahwin dan ada keluarga,” katanya.

Yong juga menjaga kesihatan sendiri sambil dipantau ahli keluarga.

Seorang jiran memimpin Sepinah bersiar-siarp di kawasan rumahnya.

Dia mengambil ubat untuk penyakit darah tinggi dan pernah terkena serangan strok beberapa kali sebelum ini.

Namun begitu, dia masih gagah menunaikan rukun Islam ketiga pada bulan Ramadan ini.

Katanya, setiap petang ada ahli keluarga yang menghantar makanan berbuka.

Sepinah bergantung harap kepada bantuan kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat setiap bulan sebanyak RM500.

Duit itu digunakannya untuk menguruskan diri dan rumahnya.

Dia berharap agar dapat bertemu semua cucunya pada Syawal kali ini.

“Dah dua tahun Covid-19 ini memang mereka tak balik, kalau balik pun asing-asing,” katanya.

Tidak banyak yang diharapkan pada Aidilfitri kali ini, hanya ketenangan dan ihsan untuk meneruskan sisa hidupnya di rumah pusaka itu.