- Iklan -
Berita

PAS mahu kerajaan kekalkan MoU dengan PH sehingga PRU15

PAS juga menyambut baik pencalonan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri mewakili Umno pada PRU15.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memeterai MoU bersama pemimpin pembangkang pada 13 September tahun lalu.
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memeterai MoU bersama pemimpin pembangkang pada 13 September tahun lalu.

PAS menggesa memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) dikekalkan sehingga Parlimen dibubarkan bagi memberi lalu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Dalam satu kenyataan menyambut baik keputusan Umno mencalonkan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri bagi PRU15, PAS mengharapkan agenda perpaduan beliau untuk mewujudkan kestabilan dalam politk dan keharmonian dapat diteruskan.

“PAS mengharapkan agenda perpaduan yang dipelopori oleh beliau dapat diteruskan kerana ia terbukti berjaya mewujudkan kestabilan serta iklim politik yang baik dan harmoni di negara ini.

“Pendekatan ini pastinya akan terus disokong oleh semua pihak atas dasar bipartisan demi kebaikan negara,“ kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan sambil mengatakan parti Islam itu yakin MoU tersebut dapat membantu proses pemulihan negara di Ismail.

MoU tersebut dimeterai antara Ismail dan pemimpin utama PH termasuk Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng dan Wilfred Madius Tangau dari Upko pada 13 September tahun lalu yang disifatkan perdana menteri sebagai “demokrasi bermusyawarah”.

Menurut Ismail, pentadbirannya bersedia untuk melaksanakan beberapa pembaharuan bagi memperkuat institusi Parlimen, serupa dengan apa yang dicadangkan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin di akhir pentadbirannya, namun ditolak PH.

MoU tersebut meliputi isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pelan tindakan Covid-19, transformasi pentadbiran kerajaan, pembaharuan Parlimen dan kebebasan badan kehakiman selain penubuhan jawatankuasa pemandu dwi partisan.

Semalam, Majlis Kerja Tertinggi Umno memutuskan MoU tersebut tidak diteruskan selepas selepas tarikh luputnya pada 31 Julai tahun ini.