- Iklan -
Berita

Annuar gesa Ismail dilantik sebagai pengerusi BN

Menurut Annuar, sebagai calon perdana menteri, Ismail perlu diberikan ruang untuk menubuhkan pentadbiran ‘bersih’.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli ParlimenKetereh Annuar Musa (kiri) dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno berbual ketika Majlis Minum Petang dan Ramah Mesra Kelab Naib Ketua Umno Bahagian (NKUB) Malaysia 2022 pada Perhimpunan Agung Umno 2021 Mac lalu. Gambar: Bernama
Ahli ParlimenKetereh Annuar Musa (kiri) dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno berbual ketika Majlis Minum Petang dan Ramah Mesra Kelab Naib Ketua Umno Bahagian (NKUB) Malaysia 2022 pada Perhimpunan Agung Umno 2021 Mac lalu. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Ketereh Annuar Musa menggesa supaya Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN) susulan keputusan Umno untuk mencalonkan beliau sebagai perdana menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Dalam sebuah kenyataan, Annuar berkata keputusan tersebut akan membolehkan Ismail menumpukan perhatian dan mengerahkan seluruh kekuatan bagi mengembalikan semula kekuatan Umno serta memulihkan keyakinan rakyat.

“Saya berpandangan sudah tiba masanya perdana menteri turut diberi amanah sebagai pengerusi BN dan pengarah utama jentera pilihan raya BN,” katanya.

“Sebagai calon perdana menteri, Ismail perlu diberi seluas-luas ruang untuk mencorakkan pentadbiran yang mampu membawa ‘order baru’ politik negara yang lebih segar, bersih, berintegriti dan mampu memulihkan negara.”

Ismail dilantik sebagai perdana menteri pada Ogos tahun lalu, menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan selepas kehilangan majoriti akibat tindakan sekumpulan ahli Parlimen yang bersekutu dengan Najib Razak menarik balik sokongan mereka terhadapnya.

Beliau merupakan pemimpin Umno dan anggota Kabinet yang enggan menyertai Najib dan presiden partinya, Ahmad Zahid Hamidi dalam kempen menyingkirkan Muhyiddin dari tampuk pentadbiran kerajaan.

Jawatan pengerusi BN kini dipegang oleh Zahid yang juga merupakan presiden Umno.