- Iklan -
Berita

7.6% kanak-kanak lengkap divaksinasi, 38.9% terima dos pertama

67.8% populasi dewasa telah menerima dos penggalak, manakala 92.2% remaja lengkap divaksinasi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan menunjukkan picagari kosong selepas memberikan suntikan vaksin Pfizer Bio-NTech kepada seorang remaja di PPV KPJ Tawakkal, Jalan Pahang.
Petugas kesihatan menunjukkan picagari kosong selepas memberikan suntikan vaksin Pfizer Bio-NTech kepada seorang remaja di PPV KPJ Tawakkal, Jalan Pahang.

Jumlah kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun yang telah melengkapkan vaksinasi mereka di bawah Program Imunisasi Kanak-Kanak Covid-19 Kebangsaan (PICKids) meningkat kepada 270,282 individu atau 7.6% setakat semalam berbanding 229,615 individu atau 6.5% pada Rabu.

Berdasarkan laman web CovidNow, setakat semalam juga seramai 1,380,661 kanak-kanak dalam kumpulan sama atau 38.9% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, seramai 2,867,600 individu atau 92.2% telah lengkap divaksin manakala 2,969,812 atau 95.5% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, seramai 15,959,507 individu dewasa atau 67.8% telah menerima dos penggalak manakala 22,959,889 atau 97.6% telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin dan 23,236,544 atau 98.8% menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 58,078 dos vaksin Covid-19 harian diberikan semalam melibatkan 8,554 dos pertama, 41,430 dos kedua dan 8,094 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 69,431,570.

Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, 18 kematian akibat Covid-19 dilaporkan semalam dengan Johor, Kedah dan Perak masing-masing mencatat tiga kes diikuti Negeri Sembilan dan Pahang, masing-masing dua kes.

Selain itu, satu kes kematian turut direkodkan di Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Putrajaya.