- Iklan -
Berita

Umno calonkan Ismail sebagai PM bagi PRU15

Majlis Kerja Tertinggi Umno juga mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan MoU dengan Pakatan Harapan selepas Julai tahun ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Perhimpunan Agung Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur..
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Perhimpunan Agung Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur..

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Dalam sebuah kenyataan, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata MKT juga turut memutuskan untuk tidak melanjutkan persefahaman (MoU) bersama Pakatan Harapan (PH) yang akan berakhir pada 31 Julai depan.

“Bagi melaksanakan keputusan sebulat suara usul Perhimpunan Agung Umno 2021 lalu, satu Perhimpunan Agung Umno Khas akan diadakan pada 14 Mei 2022,” kata Ahmad sambil menambah ia adalah bagi meminda perlembagaan Umno mengenai tempoh pemilihan parti.

Selain itu, Ahmad turut berkata Umno menyokong pembentangan rang undang-undang (RUU) anti lompat parti ia mesti diteruskan “tanpa kompromi” dengan gesaan pihak yang cuba menggagalkannya.

“Umno berpendirian akta anti lompat parti mesti segera direalisasikan sebagai manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihomati,”

Pada 9 April, MalaysiaNow melaporkan RUU tersebut bakal memberi kelebihan kepada kluster mahkamah Umno ekoran undang-undang berasingan yang memberikan hak mutlak kepada parti politik jika ia melibatkan penyingkiran ahli.

Selain boleh menyebabkan wakil rakyat kehilangan kerusi jika mereka melompat parti selepas dipilih, RUU itu juga boleh menyebabkan mereka yang dipecat daripada parti hilang kerusi yang diwakili, walaupun pemecatan itu dibuat secara tidak sah, tidak adil atau dilakukan dengan penuh kontroversi.

Bagaimanapun, Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjamin kerajaan akan mempertimbangkan semua peruntukan yang relevan dan berkaitan termasuk Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 dalam merangka RUU tersebut bagi menghentikan ahli Parlimen bertukar kem.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau mengulangi jaminan pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan akan tertakluk dengan akta itu khusus bagi menangani ahli Parlimen yang bertukar parti, cadangan untuk memansuhkan Perkara 48(6) Perlembagaan, dan penggubalan undang-undang berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar kem.

“Jawatankuasa pilihan khas Parlimen akan meneliti apa yang perlu dilakukan,” katanya ketika ditanya sama ada draf RUU itu akan mempertimbangkan Seksyen 18C Akta Pertubuhan.