- Iklan -
Berita

Tarikh akhir penawaran suntikan pertama vaksin kanak-kanak 15 Mei

Menurut Noor Azmi, ia adalah bagi mengelakkan pembaziran vaksin Comirnaty kanak-kanak yang tidak digunakan dalam tempoh enam bulan selepas dikeluarkan pengilang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang kanak-kanak tenang ditemani ibunya ketika menerima vaksin PPV Dewan Komuniti Taman Bukit Mewah, Kajang.
Seorang kanak-kanak tenang ditemani ibunya ketika menerima vaksin PPV Dewan Komuniti Taman Bukit Mewah, Kajang.

Dos pertama vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) hanya akan diberikan sehingga 15 Mei ini dan tidak lagi akan ditawarkan selepas tarikh akhir berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan 1 Dr Noor Azmi Ghazali berkata tarikh akhir berkenaan ditetapkan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) memandangkan permintaan rendah vaksinasi yang  boleh menyebabkan pembaziran vaksin yang tinggi.

“Bagi mengelakkan pembaziran vaksin Comirnaty kanak-kanak yang tidak digunakan dalam tempoh enam bulan selepas dikeluarkan  pengilang, penetapan tarikh akhir dos satu ini perlu dibuat.

“Sehubungan itu mulai 16 Mei 2022, kementerian kesihatan tidak lagi menawarkan dos pertama  vaksin Covid-19 jenis Comirnaty dan CoronaVac kepada kanak-kanak yang telah berusia lima hingga bawah 12 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak bermula awal Februari lepas sehingga 13 April, hanya seramai 1,371,120 atau 38.6% kanak-kanak telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dan 195,865 telah menerima dua dos vaksin Covid-19.