- Iklan -
Berita

Permudahkan kemasukan warga asing elak kerugian sektor ekonomi, gesa MPN

MPN mahu ia dipertimbang dan diluluskan sebelum akhir tahun ini supaya pengambilan pekerja asing dapat disegerakan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini menggesa kerajaan menyegerakan kelulusan permohonan pekerja asing bagi mengatasi kekurangan bekalan tenaga kerja di negara memandangkan Malaysia sudah beralih ke fasa endemik pada 1 April lalu.

Pengerusinya, Muhyiddin Yassin berkata MPN mengambil maklum terdapat penurunan ketara jumlah tenaga kerja kira-kira lebih 20% sejak pandemik Covid-19 melanda.

Katanya, sehingga 15 Februari tahun ini, kerajaan sudah memberi kebenaran permohonan pengambilan pekerja asing bagi semua sektor.

Bagaimanapun, hanya 163 dari 4,561 permohonan pekerja asing yang sudah diproses sehingga kini.

Jelasnya, keadaan ini menyebabkan banyak sektor mengalami kerugian  terutamanya dalam sektor perladangan, pembuatan dan perkilangan akibat kekangan tenaga kerja selepas ekonomi dibuka sepenuhnya.

“Majlis menggesa supaya disegerakan proses kelulusan bagi permohonan-permohonan pekerja asing dengan mengurangkan karenah birokrasi, mempermudah dan menambah baik proses kelulusan bagi menampung keperluan pekerja oleh industri yang mendesak.

“Kalau boleh sebelum akhir tahun ini boleh dipertimbangkan dan diluluskan pengambilan  pekerja asing agar dapat disegerakan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di kementerian kewangan, Putrajaya.

Atas sebab itu, katanya, sebagai langkah jangka pendek, MPN mengesyorkan supaya kelulusan bersyarat  boleh diberikan kepada permohonan yang sedang diproses untuk menyegerakan bekalan tenaga kerja asing kepada sektor-sektor yang terjejas.

Terbaru, Menteri Sumber Manusia M Saravanan memaklumkan Malaysia dijangka menerima kemasukan 500,000 pekerja asing Bangladesh mulai bulan ini.

Ia berikutan Malaysia dan Bangladesh memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada Disember lalu berhubung pengambilan pekerja negara itu untuk berkhidmat di negara ini berkuat kuasa selama lima tahun hingga Disember 2026.

Bagaimanapun, langkah ini dikritik kesatuan sekerja seperti MTUC yang menyatakan kemasukan secara tiba-tiba akan memberi kesan kepada pekerja tempatan dalam menggantikan pekerja asing.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata hasil mesyuarat tersebut, MPN mempertimbangkan agar penggunaan aplikasi MySejahtera sebagai alat pengesan kontak rapat dikaji semula bagi menilai keberkesanan aplikasi itu dalam fasa endemik.

Bagaimanapun, katanya, melalui taklimat yang diberikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, kementerian kesihatan (KKM) berpendapat aplikasi itu masih perlu digunakan.

“Ini memandangkan KKM mengatakan masih perlu kerana ada data-data yang digunakan untuk mengawal penularan Covid-19 dalam negara.

“Jadi, kita serahkan kepada kebijaksanaan KKM untuk putuskan sama ada MySejahtera masih atau tak lagi digunakan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menegaskan penggunaan aplikasi berkenaan bukan bertujuan untuk merekodkan lokasi pengguna, sebaliknya untuk mengesan kontak rapat kes positif Covid-19 bagi tindakan susulan.