Saturday, May 21, 2022

Pengeluaran RM10,000 KWSP: Kecemasan atau belanja Hari Raya?

Penganalisis bimbang sikap segelintir pencarum yang mungkin berpandangan simpanan persaraan mereka adalah wang perbelanjaan tambahan ketika situasi kehidupan mereka tidak terjejas teruk akibat pandemik.

Other News

Liana Zakaria tidak pernah memohon untuk mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) – namun baru-baru ini dia mengambil keputusan untuk mengeluarkannya.

Wanita berusia 29 tahun itu adalah salah seorang daripada ramai warga Malaysia yang mengeluarkan wang simpanan saraan mereka selepas kerajaan membenarkan pengeluarannya bagi kali keempat sepanjang negara dilanda pandemik Covid-19.

Menurut Liana, dia mahu menggunakan wang yang dikeluarkan untuk kegunaan kecemasan, namun tidak menafikan ada kemungkinan wang itu akan digunakan untuk dihadiahkan kepada ibu bapanya sebagai duit Raya.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan duitnya bagi tujuan selain kecemasan hanya akan dilakukan sekiranya tidak menerima bonus daripada majikan pada tahun ini disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Perbelanjaan untuk duit raya memang saya sudah ada bajet, melainkan ada kecemasan baru saya gunakan duit KWSP.

“Ini pertama kali saya mohon pengeluaran KWSP, sebelum ini saya tidak berbuat demikian kerana tidak begitu terjejas akibat Covid-19,” katanya yang bekerja dalam bidang analitik.

Walaupun Liana sudah merancang penggunaan wang simpanannya, namun tidak semua orang mampu menahan diri untuk membelanjakan wang yang sepatutnya digunakan pada hari tua nanti.

Penganalisis menyuarakan kebimbangan berhubung keputusan terbaru Putrajaya membenarkan pengeluaran simpanan KWSP menjelang Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri pada Mei, di mana mereka mengatakan ia boleh menyebabkan ramai pencarum melakukan pengeluaran bukan kerana terdesak, sebaliknya bagi “memeriahkan” sambutan perayaan itu.

Terdahulu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob pada Mac mengumumkan “keputusan berat” membenarkan mengeluarkan simpanan wang simpanan persaraan hari tua itu sehingga RM10,000.

Beliau turut berkata keputusan itu juga adalah bagi membantu meringankan beban rakyat yang masih berdepan tekanan kewangan akibat penularan Covid-19 serta berdepan musibah banjir besar.

Ini merupakan kali keempat pencarum dibenarkan mengeluarkan duit KWSP mereka sejak negara dilanda Covid-19.

Bagaimanapun ini merupakan kali pertama pengeluaran wang tersebut dibenarkan dilakukan secara sekali gus.

Mereka yang mula memohon pada 1 April untuk mengeluarkan wang tersebut bakal menerima bayaran pertama bermula 20 April.

Felo Kanan di Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial, Universiti Malaya (UM) Zulkiply Omar, berkata perkara ini membimbangkan apabila pencarum yang tidak terdesak tetap mengambil kesempatan ini menggunakan wang simpanan itu sebagai duit belanja tambahan.

“Saya tak nafikan memang ada yang tedesak disebabkan pelbagai hutang, tetapi apabila ada peluang untuk keluarkan (simpanan KWSP), mereka keluarkan sahaja bukan untuk penggunaan berfaedah,” katanya kepada MalaysiaNow.

Penganalisis Penyelidik di Emir Research, Amanda Yeo berkata, skim pengeluaran KWSP keempat ini mungkin akan memanfaatkan pasangan dari golongan pendapatan rendah untuk mencukupkan duit supaya mereka dapat memberi duit raya kepada ahli keluarga lain.

“Terdapat juga kemungkinan pencarum menggunakan dana KWSP untuk membeli baju Melayu sempena Hari Raya atau membayar perbelanjaan terakru seperti sewa rumah, ansuran pinjaman dan pendidikan anak-anak,” katanya kepada MalaysiaNow.

Yeo bagaimanapun berkata, adalah tidak wajar untuk mengeluarkan lagi simpanan KWSP semata-mata untuk perbelanjaan tambahan, sebaliknya pengeluaran khas kali ini hanya sesuai bagi mereka yang masih terdesak.

Beliau turut menekankan pesanan daripada KWSP bahawa 6.1 juta pencarium kini mempunyai simpanan untuk persaraan kurang daripada RM10,000.

“Setakat Oktober 2021, 3.6 juta pencarum mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000 dalam akaun mereka.

“Daripada 3.6 juta pencarum, dua juta pencarum Bumiputera mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000,” tambahnya.

‘Melepaskan tekanan’

Mengulas daripada sudut psikologi, Fauziah Sa’ad dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), berkata ramai akan guna kesempatan ini sebagai cara untuk “melepaskan stres” apabila cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan norma baru.

Katanya, adalah perkara biasa untuk seseorang berbelanja atau membeli-belah untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi, justeru, tidak hairan sekiranya orang ramai menggunakan simpanan KWSP untuk berbelanja sempena Aidilfitri.

Katanya, keadaan ini akan membantu menambah baik kesihatan mental masyarakat yang terus tertekan akibat penularan Covid-19 sejak dua tahun lalu, malah keadaan mungkin akan bertambah buruk apabila kerajaan enggan tunduk kepada desakan itu.

“Bayangkan rasa susah kerana tiada duit selama dua tahun, tiba-tiba dapat durian runtuh RM10,000, sudah tentu ramai suka dan reaksi ini dapat dilihat di media sosial apabila ramai menyambut baik keputusan itu,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Dalam hal ini, saya bersifat terbuka kerana duit KWSP itu juga adalah duit pencarum yang mana mereka bekerja keras selama ini, jadi, ia juga adalah hak mereka untuk gunakan duit tersebut,” katanya sambil menambah orang ramai juga perlu sentiasa berhemah ketika berbelanja menggunakan duit simpanan persaraan.

Dalam pada itu, Zulkiply berkata, pengeluaran simpanan KWSP boleh mendorong pertumbuhan jangka pendek apabila ia akan mendorong orang ramai untuk berbelanja.

“Bagaimanapun, pengeluaran kali ini adalah secara ‘one-off’ jadi aktiviti berbelanja itu mungkin berlaku untuk jangka pendek sahaja,” katanya.

Menurut Yeo, disebabkan sambutan raya kali ini bakal menyaksikan lebih ramai aktiviti rumah terbuka, permintaan untuk makanan, bahan membuat kuih, perhiasan dan baju melayu dijangka meningkat sekali gus memanfaatkan perniagaan.

“Namun begitu, pandemik masih belum tamat, masih ada umat Islam yang enggan anjurkan rumah terbuka.

“Oleh itu, perniagaan masih memerlukan masa untuk pulih daripada kerugian dialami akibat Covid-19 sejak dua tahun lalu,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles