- Iklan -
Berita

Najib dakwa saman AS$8 bilion oleh 1MDB salah guna proses mahkamah

Menurut Najib, beberapa nama yang disingkirkan dalam saman tersebut menimbulkan syak wasangka dan tidak jujur ​​di pihak plaintif.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama

Najib Razak mendakwa bahawa saman sivil AS$8 bilion yang difailkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikatnya terhadap beliau adalah penyalahgunaan proses mahkamah, apabila nama pesalah sebenar yang menyebabkan kerugian besar dana kekayaan kerajaan itu, telah dikeluarkan daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Bekas perdana menteri itu berkata tindakan 1MDB dan empat anak syarikatnya menimbulkan syak wasangka dan tindakan itu adalah tidak jujur ​​di pihak mereka semasa memfailkan saman dengan mengekalkan nama beliau sebagai seorang daripada defendan.

Empat anak syarikat itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, dan Global Diversified Investment Company Limited yang berpangkalan di British Virgin Islands (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited).

“Ia jelas daripada writ saman yang dipinda bahawa pesalah yang pada mulanya dinamakan telah disingkirkan. Ini menimbulkan syak wasangka dan tidak jujur ​​di pihak plaintif dalam memfailkan saman ini, sekali gus penyalahgunaan proses,” dakwa Najib.

Bagaimanapun, Najib, 68, tidak menyatakan nama defendan, yang digugurkan daripada saman itu.

Najib berkata demikian dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 28 Mac sebagai tuntutan balas terhadap saman sivil 1MDB AS$8 bilion yang difailkan terhadapnya dan tujuh yang lain berhubung kerugian kewangan akibat dakwaan penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran kewajipan fidusiari.

Ahli Parlimen Pekan itu juga menegaskan bahawa pernyataan pembelaan itu difailkan tanpa menjejaskan haknya untuk memfailkan permohonan interlokutori lanjut seperti meminda pembelaan atau membatalkan keseluruhan saman.

“Ketika ini, pernyataan pembelaan ini juga difailkan tanpa menjejaskan hak defendan pertama untuk berdiam diri berkaitan perbicaraan kes jenayah (1MDB) yang sedang berjalan,” katanya.

Pada awalnya, 15 individu termasuk Najib telah dinamakan dalam kes saman itu.

Bagaimanapun, tujuh – bekas CEO Mohd Hazem Abdul Rahman dan Shahrol Azral Ibrahim Halmi; bekas pengarah Che Lodin Wok Kamaruddin, Ismee Ismail, Ong Gim Huat dan Ashvin Jethanand Valiram, dan bekas ketua pegawai kewangan Azmi Tahir telah digugurkan.

Defendan lain dalam saman itu termasuk Najib, ialah Loo Ai Swan, Tang Keng Chee, Geh Choh Heng, Vincent Beng Huat Koh, Nik Faisal Ariff Kamil, Kelvin Tan Kay Jin dan Radhi Mohamad.