- Iklan -
Berita

Apa pun terjadi, perantau mahu pulang beraya di Sarawak

Ramai rakyat Sarawak yang bekerja di semenanjung menyimpan wang dan memohon cuti untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut lebaran tahun ini.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Ramai rakyat Sarawak yang bekerja di semenanjung tidak dapat pulang kampung halaman sejak pandemik melanda negara.
Ramai rakyat Sarawak yang bekerja di semenanjung tidak dapat pulang kampung halaman sejak pandemik melanda negara.

Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan pada Disember tahun lalu, Syamim Arshad tidak pulang mengundi kerana harga tiket penerbangan terlalu mahal.

Bagi Syamim yang sudah tujuh tahun bekerja di Kuala Lumpur, memohon cuti untuk menyambut Hari Raya juga turut menjadi masalah.

“Awalnya, saya mahu laksanakan tanggungjawab sebagai pengundi (pada PRN lalu),” katanya.

“Saya memang nak beli tiket untuk pulang.”

Bagaimanapun, jika Syamim mengambil cuti, ia akan mengurangkan kuota cuti tahunannya.

Ini boleh menyebabkan dia tidak lagi mempunyai waktu yang cukup untuk meluangkan masa bersama keluarga sepanjang sambutan Hari Raya.

“Tak ramai yang dapat keistimewaan cuti panjang,” kata Syamim.

“Masa (PRN Sarawak diadakan) itu tidak sesuai.”

Menurut Syamim, rakyat Sarawak biasanya memohon cuti sekurang-kurangnya seminggu bagi meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga di kampung halaman.

Kerana itu, Syamim berazam untuk melakukan apa yang boleh bagi membeli tiket pulang ke Bintulu bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang semakin hampir bersama keluarga tahun ini.

Situasi negara yang masih bergelut untuk pulih semula daripada kemelesetan ekonomi yang teruk akibat pandemik Covid-19 menyebabkan usaha Syamim tidak mudah.

Dia perlu membuat dua kerja bagi menyara hidup di ibu negara, kadangkala dia turut bekerja sebagai pemandu Grab bagi menjana pendapatan tambahan.

Melalui dua pekerjaan utamanya, Syamim memperoleh sekitar RM4,500 sebulan, namun komitmen perbelanjaannya menyebabkan separuh gajinya digunakan.

Kebiasaannya, RM600 digunakan wanita itu bagi membeli barangan keperluan, RM300 untuk makan di tempat kerja dan RM400 untuk minyak kereta.

Bagaimanapun, dia kini mengurangkan perbelanjaan barangan keperluan kerana harga barang mentah utama meningkat hampir dua kali ganda.

“Saya cuba untuk tidak beli barang yang saya tidak perlukan,” katanya kepada MalaysiaNow baru-baru ini.

“Saya perlu bayar sewa yang menelan belanja kira-kira RM1,200 sebulan, ditambah RM200 untuk bil utiliti dan internet serta RM80 untuk bayaran penyelenggaraan. Walaupun saya dapat RM4,000 sebulan, ia tidak mencukupi.”

Bahkan katanya, sewa rumahnya turut tertunggak kerana perlu menggunakan wang bagi membayar bil kad kreditnya.

Dengan pelbagai halangan dihadapi, Syamim bagaimanapun tetap berazam untuk menaiki kapal terbang pulang ke menemui keluarga untuk berhari raya.

“Saya mesti pulang jumpa ibu bapa saya,” katanya.

“Disebabkan wabak, sudah dua tahun saya tak dapat menyambut Hari Raya bersama ibu bapa.

“Saya sudah rindu sangat dengan mereka.”

Tambang penerbangan

Walaupun pelbagai rungutan disuarakan berhubung harga tambang penerbangan yang melambung tinggi pada musim perayaan, namun bagi Syamim, ia bukan perkara baru.

Syamim yakin dia akan dapat mencari tiket penerbangan yang tidak menyebabkan perbelanjaan yang terlalu tinggi.

“Saya semak harga tiket,” katanya.

“Masih banyak tiket yang harganya masih munasabah.”

Menurut Syamim, melalui semakannya, harga tiket Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Bintulu pada 25 April hanya sekitar RM254.

Zarith Sofina, yang turut bekerja dan menetap di Kuala Lumpur berkata walaupun tiket penerbangan mahal, rakyat Sarawak tetap akan pulang untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga.

Zarith teruja untuk pulang ke kampung halamannya di Kuching tahun ini kerana dia akan membawa anak kecilnya bersama buat kali pertama.

Wanita itu turut bersetuju cuti selama seminggu adalah tempoh minimum untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta.

“Harga tiket penerbangan mahal pada musim perayaan tetapi ini sudah berlaku sejak dulu lagi,” katanya kepada MalaysiaNow.

Setakat ini, sebanyak 619 penerbangan ke Sarawak direkodkan setiap minggu, termasuk penerbangan antarabangsa dari Singapura dan Brunei.

Menteri Pengangkutan Sarawak Lee Kim Shin baru-baru ini berkata syarikat penerbangan diminta untuk menawarkan harga tiket berpatutan manakala rakyat Sarawak di semenanjung dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka lebih awal daripada menunggu hingga saat akhir.

“Hal ini kerana, kebanyakan syarikat penerbangan menggunakan mekanisme harga dinamik dalam pengurusan mereka di mana harga akan bertindak balas kepada permintaan seperti yang dimaklumkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia.

“Kami percaya syarikat penerbangan akan cuba sesuaikan (polisi harga tiket) dengan keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa pengurusan bencana Sarawak dalam meluluskan lebih banyak penerbangan ke Sarawak dan memainkan peranan penting dalam memudahkan pergerakan orang ramai dan barangan pada kadar harga yang berpatutan selain turut menyokong inisiatif kerajaan bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi,” katanya.