- Iklan -
Berita

Siasatan terhadap bekas CEO Astro masih berjalan, kata SPRM

Agensi anti rasuah itu berkata pihaknya masih menyiasat berhubung aset bernilai AS$10 juta yang didakwa diberikan kepada Rohana oleh bekas pegawai Goldman Sachs Tim Leissner.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas CEO Astro Rohana Rozhan.
Bekas CEO Astro Rohana Rozhan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung siasatan kes bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Astro Rohana Rozhan melibatkan wang sebanyak AS$10 juta yang didakwa diberikan bekas pegawai Goldman Sachs Tim Leissner.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, proses siasatan terhadap aset-aset Rohana yang didakwa diperolehi daripada wang tersebut masih berjalan.

“Sehubungan itu, orang ramai diminta jangan membuat spekulasi tentang kes tersebut,” kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

Awal hari ini, Utusan Malaysia memetik sumber SPRM yang mengatakan bekas CEO Astro itu bersedia untuk memulangkan semula wang 1MDB yang diterimanya dari Leissner.

Laporan itu turut mengatakan SPRM sedang berusaha mendapatkan semula wang tersebut.

Sebelum ini, SPRM mengeluarkan perintah beku aset dan akaun bank Rohana sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan Leissner di mana beliau mengatakan wanita itu mengugutnya supaya membeli sebuah rumah berharga AS$10 juta di London.

Perintah pembekuan aset itu dibuat mengikut Seksyen 44 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan, di mana ia melarang Rohana daripada melakukan sebarang transaksi melibatkan akaun bank miliknya sama ada di United Kingdom (UK) atau dalam negara.

Difahamkan Rohana mungkin membayar harga sebuah rumah di London menggunakan separuh daripada jumlah wang yang didakwa diberikan oleh Leissner, sementara baki wang itu disimpan dalam sebuah akaun di UK.

Leissner mendakwa ugutan diterimanya itu ketika memberi keterangan dalam perbicaraan seorang lagi bekas pegawai Goldman, Roger Ng yang baru-baru ini disabitkan kesalahan bersubahat dalam penyelewengan ratusan juta dolar AS dana 1MDB.

Leissner berkata, Rohana yang mempunyai hubungan sulit dengannya, mengancam akan mendedahkan penglibatannya dengan skandal berbilion dolar AS itu selepas mengetahui beliau mahu memutuskan hubungan mereka yang sudah terbina selama 10 tahun dari 2003 hingga 2013.