- Iklan -
Berita

KKM jamin coklat Kinder di Malaysia selamat

KKM berkata coklat berjenama Kinder dari Belgium tidak masuk ke Malaysia.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Kementerian kesihatan berkata tiada produk coklat berjenama Kinder yang terlibat dalam kes tercemar bakteria di Eropah masuk ke Malaysia. Gambar: AFP
Kementerian kesihatan berkata tiada produk coklat berjenama Kinder yang terlibat dalam kes tercemar bakteria di Eropah masuk ke Malaysia. Gambar: AFP

Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) hari ini berkata produk coklat berjenama Kinder yang tercemar bakteria di beberapa negara Eropah tidak dieksport ke Malaysia, mengatakan pihaknya meningkatkan pemantauan bagi memastikan ia tidak masuk ke pasaran tempatan.

Dalam sebuah kenyataan, Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM Mohd Salim Dulatti berkata pihaknya maklum laporan media berhubung beberapa produk Kinder yang dihasikan kilag Ferrero di Arlon Belgium di mana ratusan dilaporkan dijangkiti bakteria Salmonella typhirium.

“Berdasarkan semakan data melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan (FoSIM) Malaysia dari 2021 sehingga kini, tiada kemasukan produk terbabit ke Malaysia,“ katanya sambil menambah ia turut disahkan International Food Safety Authorities Networks (Infosan).

Menurut Salim, Coklat berjenama Kinder yang masuk ke dalam Malaysia adalah dari Poland, Itali, Jerman dan beberapa negara lain.

Awal hari ini, media melaporkan 150 kes bakteria salmonella dikesan di sembilan negara Eropah yang dikenal pasti berpunca dari kilang Ferrero.

Kebanyakan kes adalah melibatkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun di mana ramai daripada mereka dimasukkan ke hospital.

Bakteria Salmonella merupakan patogenik yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan dengan simptom demam, kekejangan perut dan cirit-birit.

Menurut Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah, setakat 8 April, sembilan negara telah melaporkan 119 kes dan mengesyaki lagi 31 kes yang dikenal pasti.

Kes makanan tercemar itu direkodkan di Belgium, Perancis, Jerman, Ireland, Luxembourg, Belanda, Norway, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom.

Pada Khamis, Ferrero, yang juga merupakan pengeluar Nutella dan Tic Tac mengambil langkah menarik balik produk coklat Kinder yang dieksport ke Amerika Syarikat selepas mendapat arahan pihak berkuasa Belgium.

Susulan itu, UK dan beberapa negara Eropah lain turut menarik balik produknya daripada jualan.