Friday, May 20, 2022

Bersediakah Malaysia tinggalkan arang batu untuk janakuasa elektrik?

Malaysia masih bergantung dengan sumber arang batu sementara pelaburan dalam tenaga alternatif yang boleh diperbaharui pula sangat kecil.

Other News

Sudah berdekad lamanya, Malaysia bergantung kepada sumber arang batu untuk menjana elektrik di seluruh negara.

Sehingga tahun 2020, hampir 66% janakuasa elektrik di Semenanjung Malaysia oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah daripada sumber arang batu yang diimport sepenuhnya.

Malaysia membeli sebahagian besar keperluannya dari Indonesia (63%), Australia (24%), Rusia (11%), dan Afrika Selatan (2%).

Kebergantungan ini sedikit sebanyak memberikan impak kepada sektor ekonomi, alam sekitar dan berupaya mempengaruhi nilai matawang Ringgit.

Sedangkan, Malaysia turut dikenali sebagai satu negara yang kaya dengan sumber semulajadi dengan taburan hujan tahunan yang tinggi dan tenaga suria yang melimpah ruah.

Seorang pakar alam sekitar, Andrew Sebastian percaya, sumber-sumber semulajadi tersebut perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkasa dasar tenaga negara demi kelangsungan masa hadapan.

“Menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui dan mempunyai perancangan yang jelas serta memberi insentif kepada pemaju dan kerajaan tempatan dalam menggalakkan penggunaan tenaga ini adalah sesuatu yang kita tidak boleh elakkan pada masa hadapan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Difahamkan, bagi tahun 2021 hingga 2030 TNB akan mengimport arang batu sebanyak 374 juta tan metrik yang bernilai RM150 billion.

Meskipun, kerajaan sudah menyatakan pendirian untuk tidak lagi membina loji jana kuasa arang batu yang baru, namun nilai import tersebut bakal menyaksikan impak besar terutamanya kepada alam sekitar dan perbelanjaan negara.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata baru-baru ini keputusan itu dibuat bagi memberi tumpuan kepada penjanaan elektrik yang lebih bersih dan mesra alam.

Katanya, ini membolehkan Malaysia menjadi negara neutral karbon seawal tahun 2050.

Bagaimanapun, Sebastian berkata Malaysia masih perlu mempertimbangkan kesan penggunaan arang batu sedia ada.

Katanya, kerajaan dan pihak berkepentingan harus menerima hakikat bahawa penjanaan kuasa elektrik arang batu menyebabkan perlepasan gas rumah hijau dan ia menyumbang kepada perubahan iklim.

“Bukan sahaja kepada negara tetapi juga di peringkat global.

“Jadi, ini satu perkara yang perlu dipandang serius memandangkan kita mempunyai komitmen di peringkat antarabangsa untuk memastikan pelepasan gas rumah hijau terkawal,” katanya.

Harga arang batu meningkat

Arang batu dan gas asli digunakan untuk menjana hampir 93% elektrik di Semenanjung Malaysia.

Berdasarkan statistik oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia, terdapat 47 stesen janakuasa di Semenanjung Malaysia dengan enam loji janakuasa arang batu, 14 loji janakuasa solar berskala besar, 16 loji janakuasa turbin gas dan 11 loji janakuasa hidro.

Sehingga kini, harga arang batu global meningkat tinggi, satu keadaan yang memberikan tekanan ke atas industri penjanaan tenaga di negara.

Harga arang batu mencatatkan harga tertinggi pada AS$270 satu tan pada Oktober 2021 dan berada pada AS$203 satu tan setakat 10 Januari 2022.

Perkembangan itu berlaku ketika permintaan terhadap arang batu mencecah paras tertinggi pada 2021 namun bekalannya masih terhad.

Mengulas lanjut, Sebastian berkata, disebabkab kebergantungan ekonomi kepada minyak mentah, negara tidak mempunyai banyak kilang arang batu untuk memenuhi keperluan tenaga nasional.

Malah, katanya, jumlah pelaburan tenaga yang boleh diperbaharui pula sangat kecil.

“Ini adalah kelemahan terbesar dalam dasar tenaga Malaysia. Ini adalah satu kelompongan yang perlu kita atasi kerana dunia sedang bergerak ke arah rendah karbon dan beralih daripada kebergantungan kepada minyak mentah.

“Malaysia yang tidak lagi bersedia akan menerima kesannya dari segi sosioekonomi.”

Katanya, berdasarkan laporan yang dikeluarkan pada tahun 2017, tenaga yang boleh diperbaharui hanya mewakili 3.5% daripada campuran penjanaan elektrik negara.

Atas sebab itu, Sebastian menegaskan, Malaysia perlu menyediakan satu perubahan besar dalam penjanaan tenaga boleh diperbaharui sebagai satu cara untuk negara terus maju ke hadapan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles