- Iklan -
Berita

150 kes salmonella di Eropah berpunca dari kilang Kinder Belgium

Kes makanan tercemar bakteria itu direkodkan di Belgium, Perancis, Jerman, Ireland, Luxembourg, Belanda, Norway, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Pihak berkuasa keselamatan makanan Belgium mengarahkan semua produk coklat Kinder ditarik balik daripada pasaran ekoran kes salmonella. Gambar: AFP
Pihak berkuasa keselamatan makanan Belgium mengarahkan semua produk coklat Kinder ditarik balik daripada pasaran ekoran kes salmonella. Gambar: AFP

Sebanyak 150 kes bakteria salmonella dikesan di sembilan negara Eropah, kata dua agensi pakar Eropah pada Selasa, mengatakan kilang coklat Kinder yang ditutup di Belgium sebagai punca kes.

“Kebanyakan kes adalah melibatkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun, ramai daripada mereka dimasukkan ke hospital,” kata Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah dan Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah dalam satu kenyataan bersama.

Setakat 8 April, sembilan negara telah melaporkan 119 kes dan mengesyaki lagi 31 kes yang dikesan, kata kenyataan itu.

Kes makanan tercemar itu direkodkan di Belgium, Perancis, Jerman, Ireland, Luxembourg, Belanda, Norway, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom.

Menurut agensi itu lagi, produk coklat yang diproses di kilang yang terletak di Arlon, Belgium itu didapati mengandungi salmonella, menggesa kesemua negara terlibat memantau jika terdapat kes baru.

Penutupan kilang produk coklat kegemaran ramai akibat pencemaran itu menjadi tamparan hebat kepada syarikat gergasi Itali, Ferrero.

Penutupan itu terpaksa dilaksanakan ketika musim cuti perayaan Paskah di mana produk coklat Kinder menjadi rebutan di pasar raya.

Belgium membuka siasatan mengenai produk yang tercemar itu pada Isnin.

Dalam pada itu, Ferrero mengeluarkan satu kenyataan memohon maaf berhubung produknya yang menjadi punca kes salmonella.

Pada Khamis, Ferrero, yang juga merupakan pengeluar Nutella dan Tic Tac mengambil langkah menarik balik produk coklat Kinder yang dieksport ke AS selepas mendapat arahan pihak berkuasa Belgium.

Susulan itu, UK dan beberapa negara Eropah lain turut menarik balik produknya daripada jualan.

Salmonella adalah sejenis bakteria yang boleh menyebabkan gejala termasuk cirit-birit, demam pada manusia, ia merupakan salah satu jangkitan paling biasa berlaku dan  disebarkan melalui makanan.

Kebanyakan kes berpunca daripada makanan yang terdedah dengan najis haiwan atau manusia.