- Iklan -
Berita

Siasatan polis terhadap suami Zeti berkait 1MDB dirujuk ke AGC

Polis juga telah mengenal pasti dokumen dan keterangan yang diperlukan bagi tujuan siasatan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Tawfiq Ayman, suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz.
Tawfiq Ayman, suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz.

Siasatan terhadap suami bekas gabenor Bank Negara Tawfiq Ayman yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya, termasuk dari sudut bantuan perundangan bersama (MLA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Mohd Kamarudin Md Din berkata proses MLA diperlukan, agar dokumen dan keterangan yang diperoleh polis dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura, boleh diterima di mahkamah.

Beliau berkata pasukan penyiasat polis mengadakan perbincangan dengan CAD Singapura pada 29 hingga 31 Mac lepas, dan pihak CAD Singapura telah memberikan kerjasama baik.

“Kami juga mengenal pasti dokumen dan keterangan yang diperlukan bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 16 Mac lepas, PDRM dalam kenyataannya memberitahu pasukan penyiasat akan ke Singapura, bagi mengumpul maklumat atau keterangan berhubung Tawfiq.

Tawfiq disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, selepas didakwa menerima dana yang dikaitkan dengan 1MBD dalam akaun miliknya di Singapura.