- Iklan -
Berita

Pusat beli-belah bertukar sepi, siapa bertanggungjawab?

Pandemik Covid-19 menjadi punca banyak perniagaan terpaksa ditutup sejak dua tahun lalu, namun ada juga yang menuding jari kepada pengurusan pusat beli-belah.

Nur Hasliza Mohd Salleh
4 minit bacaan
Kongsi
Centrepoint Bandar Utama di Damansara Utama kelihatan sepi tanpa kemeriahan pengunjung.
Centrepoint Bandar Utama di Damansara Utama kelihatan sepi tanpa kemeriahan pengunjung.

Beberapa pusat membeli-belah di ibu kota dilihat berisiko menutup operasi sepenuhnya dengan hampir semua unit-unit komersial tidak lagi menjalankan perniagaan masing-masing, satu keadaan yang menyebabkan tiada lagi lawatan pengunjung dan pembeli.

Fenomena ini tidak asing lagi selepas pandemik Covid-19 yang melanda sejak penghujung tahun 2019 hingga Malaysia mengumumkan negara sudah memasuki fasa peralihan endemik pada 1 April lalu.

Sektor ekonomi yang tergugat dengan banyak sekatan berlaku, menyerlahkan lagi pergelutan yang dihadapi oleh pemilik dan usahawan di dalam bangunan pusat membeli-belah.

Tinjauan MalaysiaNow ke sebuah pusat membeli-belah tersohor di Ampang, Selangor mendapati kompleks tiga tingkat tersebut, tidak ubah seperti “hidup segan mati tidak mahu.”

Hampir 90% unit-unit kedai tidak beroperasi dan beberapa unit kedai menjalankan perniagaan rumah urut tradisional.

Galaxy Ampang Mall di Taman Dagang pernah menjadi kemegahan penduduk setempat kerana menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk hiburan seperti pusat karaoke keluarga, panggung wayang dan butik-butik berjenama untuk pembeli serta lambakan restoran dan medan selera yang memiliki keunikan sendiri.

Galaxy Ampang Mall yang pernah meriah dengan pengunjung kini sepi.

Keadaan ini menyebabkan Galaxy Ampang Mall pernah menguasai pelanggan tetapnya sendiri yang gemar berkunjung.

Pada suatu ketika, pusat membeli-belah ini dipenuhi dengan penduduk yang menetap di sekitar dan menjadi lokasi utama pengunjung untuk menghabiskan masa bersama pasangan, rakan-rakan dan keluarga.

Tidak cukup berinteraksi secara fizikal, perniagaan di pusat membeli belah in turut aktif di media sosial apabila satu kumpulan komuniti dicipta di Facebook bertujuan untuk mempromosi, membuat hebahan majlis dan soal jawab antara pihak penjual dan pembeli.

Bagaimanapun, komuniti itu dilihat aktif hanya sehingga pertengahan tahun 2019.

Selepas itu, tiada lagi kelihatan siaran-siaran yang meriah seperti sebelumnya kecuali beberapa pautan yang tidak berkaitan dikongsikan oleh ahli kumpulan.

Seorang pemilik dan pengusaha salon, mahu dikenali sebagai Casey berkata, perniagaannya di situ pernah meraih pendapatan sehingga RM40,000 sebulan dengan kehadiran pelanggan yang bertali arus hampir setiap hari dan hujung minggu.

“Sekarang, saya tak boleh buat apa-apa. Pengurusan juga tidak membantu. Saya terpaksa melabur di tempat baru.

“Pengubahsuaian, kos masuk bangunan dan deposit semuanya tinggi dan saya terpaksa tanggung untuk cari rezeki,” katanya kepada MalaysiaNow.

Kesan digitalisasi

Tidak dinafikan, pusat membeli-belah dan bazar jalanan berdepan pergelutan untuk bertahan sebelum era pandemik disebabkan beberapa faktor seperti peralihan pengguna kepada membeli-belah secara dalam talian selain tabiat pengguna yang lebih mesra ke arah digitalisasi.

Dalam pada itu, semakin ramai orang muda tidak memilih menonton wayang sebaliknya melanggan khidmat wayang digital seperti Netflix.

Seorang wanita berjalan melalui ruang legar yang sepi di Galaxy Ampang Mall.

Pengerusi Persatuan Usahawan dan Peniaga Pusat Beli Belah Selangor V Ravindran berkata beberapa beberapa permasalahan yang timbul sehingga menyebabkan beberapa pusat membeli-belah bergelut untuk terus hidup dalam keadaan ekonomi semasa yang kian mencabar.

Katanya, banyak syarikat dan pemilik perniagaan sudah mula mengarahkan pekerja untuk memberi tumpuan kepada perniagaan secara dalam talian, di mana keadaan ini tidak lagi memerlukan peniaga berada di dalam unit-unit komersial.

Malah, ramai juga pekerja yang ditamatkan perkhidmatan kerana menjimatkan kos operasi.

“Kedua, paling penting. Pengurusan bangunan kompleks itu sendiri yang gagal untuk menarik pelanggan. Gagal juga untuk membuat pembaharuan. Mereka tidak mengubah pendekatan sedangkan banyak perubahan berlaku selepas pandemik melanda.

“Cara pemikiran dan tabiat pelanggan dan berubah, seharusnya mereka ini perlu dapatkan pandangan pakar bagaimana untuk tarik kembali pelanggan. Mungkin tingkatkan promosi dan sebagainya,” katanya kepada MalaysiaNow.

Pusat beli-belah masih dibuka, namun premis di ruang legar kelihatan sepi tanpa pengunjung.

Menurut Ravindran, pemerhatian persatuan itu mendapati lebih 30% peniaga di pusat membeli-belah di Selangor sudah gulung tikar sejak dua tahun lalu dan trend penutupan operasi dijangka terus meningkat sekiranya tiada tindakan lanjut dijalankan oleh pihak pengurusan.

Tambahnya, satu permasalahan ketara yang boleh dilihat adalah para pemilik kedai dan penyewa tidak diwakili dan mendapat pembelaan sewajarnya terhadap nasib-nasib yang menimpa mereka.

Hal ini, katanya kerana banyak keputusan dibuat oleh pemilik bangunan pusat membeli-belah tanpa mengambil kira dan berpihak kepada para pemilik dan penyewa yang menjalankan perniagaan.

“Cadangan utama di pihak kita, mereka ini perlu diwakili. Selepas itu, perlu duduk di meja rundingan antara usahawan, pihak pengurusan, wakil kerajaan negeri, kerajaan dan pemain industri tentang apakah cara untuk menaik taraf perkhidmatan. Macam mana nak tarik lebih banyak pelanggan

“Kami sendiri bersedia untuk memberikan pandangan dan pertolongan dari segi promosi, buat majlis dan pelbagai lagi. Semua ini ada jalan penyelesaiannya.”

Di negara luar seperti United Kingdom, beberapa bandar utama menjalankan polisi baru untuk mengisi kekosongan  bangunan pusat membeli belah yang terbiar dan hampir lumpuh operasi sepenuhnya.

Antaranya, mengubah suai kompleks beli belah kepada kubikel pejabat ataupun unit bilik untuk disewa sebagai kediaman pelajar dan golongan muda.

Penganalisis dan institusi pemikir berpandangan, meninggalkan bangunan sepi tanpa mengunjung menelan perbelanjaan yang tinggi untuk penyelenggaraan.

Langkah utama untuk mengatasi adalah dengan menjadikan pusat membeli-belah bertukar wajah baru dan menyasar penyewa baru.

MalaysiaNow sedang mendapatkan ulasan pihak pengurusan Galaxy Ampang Mall tetapi masih belum berjaya.

Cuba bertahan

Sementara itu, sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya, Selangor jelas menunjukkan ia sedang bertahan selepas dihimpit dengan cabaran ekonomi sejak dua tahun kebelakangan ini.

Centrepoint Bandar Utama pernah menjadi satu lokasi kegemaran penduduk setempat sebagai tempat tumpuan utama setiap kali waktu makan tengah hari, petang dan malam.

Suasana premis yang ditutup di Galaxy Ampang Mall.

Kewujudan kedai kopi, kafe eksklusif dan restoran pelbagai cita rasa menjadikan ia satu lokasi paling sesak di kawasan tersebut.

Namun kini, bilangan pengunjung dalam satu masa hanya boleh dikira dengan jari meskipun pada waktu sibuk.

Tinjauan MalaysiaNow di pusat membeli belah itu mendapati beberapa unit kedai masih dibuka tetapi lengang tanpa pengunjung.

Situasi ini menandakan aliran pengunjung yang tidak aktif, satu keadaan yang ironi di mana beberapa pusat membeli-belah lain di ibu kota sedang bersesak dengan pengunjung membuat persiapan hari raya.

Namun, keadaan yang sama tidak berlaku di sini.

Seorang suri rumah yang membeli belah barangan dapur, Jasmindeer Kaur berkata, beliau amat maklum tentang perubahan bangunan itu kerana ia menyimpan terlalu banyak memori untuknya dan anak-anak.

Ini memandangkan ia pernah menjadi lokasi wajib untuknya dan keluarga di setiap hujung minggu untuk membeli buku dan makan bersama.

Malah, anak-anaknya juga gemar berjumpa rakan-rakan sekolah di situ.

Kini, semuanya hanya tinggal kenangan.

Kata suri surah berusia 51 tahun itu, anak-anaknya juga tidak lagi menyebut nama pusat membeli-belah itu setiap kali mengajaknya keluar bersiar-siar.

“Mujur lah ada tempat beli barang dapur macam Jaya Grocer ini, senang saya nak dapatkan keperluan masakan yang dekat dengan rumah tanpa perlu memandu.

“Apa-apa pun, ia masih boleh dikunjungi kerana banyak kenangan sentimental kepada saya dan mendiang suami.

“Ini tempat kami sekeluarga habiskan banyak masa bersama,” ketika ditemui MalaysiaNow.