- Iklan -
Berita

Parlimen Indonesia lulus RUU berhubung keganasan seksual

Kelulusan RUU itu mengenepikan tentangan beberapa kumpulan konservatif di negara majoriti Islam terbesar di dunia selepas enam tahun dibahaskan.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Serorang wanita memegang plakad protes keganasan seksual di Aceh pada Disember 2021. Gambar: AFP
Serorang wanita memegang plakad protes keganasan seksual di Aceh pada Disember 2021. Gambar: AFP

Parlimen Indonesia hari ini meluluskan rang undang-undang (RUU) yang sudah lama dinantikan di negara itu bagi menangani keganasan seksual.

RUU itu bertujuan menyediakan rangka kerja undang-undang untuk mangsa di negara itu mendapatkan keadilan di mana penderaan seksual sering dianggap sebagai perkara peribadi.

Majoriti penggubal undang-undang menyokong RUU itu pada sidang Parlimen, mengenepikan tentangan beberapa kumpulan konservatif di negara majoriti Islam terbesar di dunia selepas enam tahun dibahaskan.

“Kami berharap pelaksanaan undang-undang ini dapat menyelesaikan kes keganasan seksual,” kata Speaker Parlimen, Maharani.

RUU tersebut disokong secara meluas dalam kalangan aktivis, walaupun ada antara mereka membantah skopnya yang terbatas dengan hanya beberapa jenayah seks dimasukkan, sementara klausa khusus mengenai jenayah rogol akan dimasukkan dalam peruntukan undang-undang yang lain.

“Ini sudah tentu menjadi satu langkah maju ke hadapan,” kata pakar undang-undang di Sekolah Tinggu Hukum Indonesia Jentera, Asfinawati yang sering membantu mangsa keganasan seksual sambil menambah takrifan rogol yang kini dirangkum di bawah kanun jenayah, masih perlu dijelaskan dengan lebih terperinci.

Aduan mengenai keganasan seksual semakin meningkat di Indonesia, namun pendakwaan jenayah seks menjadi rumit berikutan ketiadaan rangka kerja undang-undang yang lebih kukuh.

Menurut aktivis, kebimbangan mangsa dimalukan semasa soal siasat menghalang lebih ramai untuk bersuara.

Draf akhir undang-undang itu termasuk hukuman penjara sehingga 12 tahun untuk jenayah penderaan seksual fizikal, baik dalam perkahwinan dan luar perkahwinan, 15 tahun bagi kesalahan eksploitasi seksual, sembilan tahun bagi kesalahan perkahwinan paksa yang merangkumi perkahwinan bawah umur dan empat tahun jenayah seksual tanpa kerelaan.

Ia menetapkan mahkamah mesti mengenakan pesalah yang disabitkan membayar ganti rugi sementara pihak berkuasa diperintahkan untuk memberi kaunseling kepada mangsa.

Di bawah cadangan terdahulu, undang-undang itu juga akan meliputi kes pengguguran anak dan memberikan definisi yang lebih jelas mengenai takrifan rogol.

Suruhanjaya Kebangsaan Mengenai Keganasan Terhadap Wanita (Komnas Perempuan) dan kumpulan masyarakat sivil mula-mula mencadangkan idea perundangan tersebut sedekad lalu dan RUU itu dikemukakan kepada Parlimen empat tahun berikutnya.

Pada Januari lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo mengumumkan kerajaannya bersedia mempercepatkan undang-undang baru yang bertujuan memudahkan sebutan kes dan menjamin sabitan.

Bagaimanapun, Parti Keadilan Sejahtera (PKS) membantah RUU tersebut, mengatakan ia harus mengawal selia seks luar nikah dan menggesa larangan hubungan seksual berdasarkan apa yang disifatkannya sebagai orientasi seksual yang “menyimpang”.