- Iklan -
Berita

Nicky Liow mengaku tidak bersalah terlibat aktiviti gubah wang haram lebih RM36 juta

Jika disabitkan bersalah, dia boleh dipenjarakan maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee diiringi polis di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. Gambar: Bernama
Ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee diiringi polis di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. Gambar: Bernama

Ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 26 pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan dan memiliki wang haram bernilai lebih RM36 juta sejak 2016 hingga tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama hingga ke 24, Liow, 34, dan tiga buah syarikat yang dikaitkan dengannya didakwa secara langsung melibatkan diri dalam transaksi daripada aktiviti wang haram lebih RM33.7 juta di bawah perenggan 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) yang boleh dihukum bawah subseksyen 4(1) akta yang sama.

Bagi dua lagi pertuduhan, dia didakwa memiliki wang hasil daripada aktiviti sama membabitkan lebih RM2.29 juta dibawah perenggan 4(1) (b) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum bawah subseksyen 4(1) akta yang sama.

Kesemua perbuatan tersebut didakwa dilakukan di dua buah bank di Bandar Puteri Puchong dan Bandar Ampang sekitar 2016 hingga 2021.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu, pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Noor Zalizan Lazarous, Rozaliana Zakaria dan Syafinas Shabudin manakala tertuduh diwakili peguam Rajpal Singh, Jay Moy Wei Jiun dan Mardhiyah Siraj.

Zalizan memohon mahkamah mengenakan wang jaminan sebanyak RM3.6 juta dengan dua orang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Rajpal memohon agar wang jaminan dikurangkan kepada bawah RM1 juta.

Hakim Helina Sulaiman membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta yang dibayar secara ansuran pada hari ini dan esok, dengan dua orang penjamin, melapor diri di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman setiap dua kali sebulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Kes disebut semula pada 26 Mei depan.